Umbut Rotan Pahit Tapi Sedap

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)


KUCHING, 24 Sept 2019 (Malaysiaaktif) -  Kita amat bertuah kerana mewarisi alam sekitar yang indah dan cukup mempersonakan,  ditambah lagi dengan keadaan bebas bencana alam yang menggalakkan lagi kelestarian alam kita.


Di Sarawak khasnya, hutan yang luas turut menyajikan pelbagai flora dan fauna untuk kegunaan harian iaitu dijadikan makanan dan sebagainya. Kepelbagaian flora dan fauna ini haruslah dijaga dan dimanfaatkan sebaik mungkin.


Sejak zaman dahulu lagi, selain bergantung kepada haiwan untuk dijadikan makanan, manusia juga turut menjadikan sebahagian tumbuhan sebagai makanan harian mereka. Tidak hairanlah pelbagai tumbuhan terus dijadikan makanan hingga kini.


Rotan juga banyak kegunaannya seperti dijadikan perhiasan, perabot berasaskan rotan, anyaman tikar, bakul dan sebagainya. Namun tidak ramai yang mengetahui rotan juga boleh dijadikan bahan makanan iaitu pada bahagian umbut dan buahnya.


Penggemar umbut rotan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum terutamanya kaum Iban, Bidayuh, Kayan, Melayu, Kenyah dan sebagainya. Berbagai jenis cara masakan dan sajian dihasilkan daripada umbut ini mengikut cita rasa kaum masing – masing.


John Ngo, etnik Kayan yang berasal dari Uma Dipah, Kampung Long Panai, Tutoh merupakan seorang penggemar umbut rotan sejak dari kecil lagi. Walaupun telah lama berhijrah ke bandar raya Kuching sejak tahun 1998 kerana mencari rezeki, minatnya terhadap umbut rotan tidak pernah luntur.




John bersama umbut yang diperolehinya John bersama umbut yang diperolehinya


Kalau berkesempatan ke Pasar Tamu ataupun pusat jualan sayur – sayuran kampung khasya, beliau akan membeli umbut rotan jika ada yang menjualnya.


Bagi John, umbut rotan jenis “wei sengla’k”  dalam bahasa Kayan, adalah kegemarannya walaupun agak pahit tetapi mempunyai khasiatnya yang tersendiri.


Biasanya umbut ini dibakar di atas api terlebih dahulu sebelum dimakan umbutnya yang lembut dengan sedikit garam.


Bagaimanapun, tidak semua jenis umbut rotan boleh dimakan kerana boleh menyebabkan keracunan. Hanya mereka yang mahir dan penggemarnya sahaja yang arif dan mengetahui mana yang boleh dan mana yang tidak boleh dimakan.


“Di kampung halaman saya, umbut rotan ini agak mudah diperolehi. Boleh dikatakan masih ramai penduduk kampung terutama golongan dewasa yang masih sukakan umbut ini.


Dahulu ketika sering mengikuti orang tua saya masuk ke dalam hutan, kami sering menebang beberapa batang rotan untuk mengambil umbutnya dijadikan lauk. Pada mulanya saya tidak begitu suka kerana rasanya yang agak pahit, tapi lama kelamaan menjadi sedap pula”, kata John yang kini tinggal di Samarahan.


Menurutnya lagi, umbut juga boleh dimasak bersama nasi ataupun dijadikan bubur. Umbut rotan yang telah digaul bersama garam juga boleh disimpan dan tahan lama dalam botol atau bekas plastik.


John berharap agar ekosistem hutan haruslah dipelihara dengan melarang penerokaan hutan sewenang – wenangnya kerana banyak sumber  hutan yang amat berguna kepada manusia.


Jika tersesat di dalam hutan, dengan hanya memakan umbut rotan seseorang itu boleh bertahan untuk tempoh yang agak lama kerana ianya boleh dimakan mentah.


Bagi Robert Tang, pemuda kacukan Cina/Bidayuh, memakan umbut rotan tidak asing baginya kerana pernah bertugas di beberapa tempat di pedalaman Sarawak.


Robert yang sering melawat beberapa penempatan di pedalaman Sarawak akui beliau tidak cerewet sangat tentang makanan lebih – lebih lagi makanan kampung.


“Pernah suatu ketika dahulu rakan – rakan setugas saya yang berketurunan Dayak agak terkejut kerana makanan yang dihidangkan oleh orang kampung seperti Pekasam, Ulaman, Dabai, buah Engkalak dan sebagainya saya boleh makan.


Maklumlah mungkin mereka beranggapan masyarakat Cina seperti saya tidak meminati makanan sedemikian”, ujar Robert.




Umbut rotan goreng belacan yang telah siap dimasak Umbut rotan goreng belacan yang telah siap dimasak


Seorang warga Sabah berketurunan Dusun yang berasal dari Kampung Soronsob, Kota Marudu iaitu Henry Atam memberitahu umbut rotan ataupun Lasas dalam dialek Dusun masih menjadi pilihan sebilangan penduduk kampungnya terutamanya golongan dewasa.


“Mungkin rasanya yang agak pahit dan kelat menyebabkan golongan muda kurang meminati umbut ini. Kedua – dua mentua saya di Sarawak merupakan antara penggemar umbut rotan.


Walaupun berlainan bangsa tetapi banyak persamaan dari segi makanan”, kata Henry yang telah mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Sarawak.


“Umbut rotan yang dihiris halus dan digoreng bersama pekasam ataupun ikan sangat sedap dimakan dengan nasi hangat. Ianya merupakan salah satu lauk kegemaran keluarga saya”, kata Puan Anny Aman dari suku kaum Bidayuh dari Kampung Simpok, Padawan.


Anny bagaimanapun memberitahu kesukaran mendapatkan umbut rotan yang jauh dalam hutan menyebabkannya jarang menikmati keenakan masakan tersebut.


Bagi masyarakat Melayu pula, umbut rotan masak lemak cili api merupakan antara menu pilihan dari umbut rotan ini.


Kesukaran mendapatkan umbut rotan menjadikannya agak mahal kerana proses mencarinya agak sukar jauh ke dalam hutan tebal. Pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa ditempuhi seperti durinya yang tajam, haiwan berbisa seperti ular, gigitan nyamuk dan sebagainya.


Bagi penggemarnya, harga yang mahal bukanlah penghalang untuk menikmati keenakan dan perolehi khasiat yang terkandung dalam umbut rotan ini