Malaysia Beralih kepada Siaran TV Digital Sepenuhnya pada 31 Oktober

PUTRAJAYA, 25 Sept (Malaysiaaktif) -  Malaysia akan beralih kepada siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya daripada siaran TV percuma menggunakan teknologi lama analog pada 31 Oktober ini, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


SKMM berkata peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview akan bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 September, wilayah Utara dan Timur pada 14 Oktober, manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober.

SKMM berkata siaran TV Digital myFreeview memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran televisyen, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa dan pendidikan interaktif.

Setakat ini, sebanyak 15 saluran TV dan enam saluran radio boleh didapati pada platform TV Digital myFreeview yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel (BNC), katanya.

"Dijangkakan terdapat beberapa lagi saluran TV baharu bakal disiarkan di platform TV Digital myFreeview dalam tempoh terdekat," kata SKMM dalam kenyataan hari ini.

SKMM berkata peralihan secara sepenuhnya itu adalah hasil kejayaan ujian rintis yang telah dijalankan di Pulau Langkawi oleh suruhanjaya itu dengan kerjasama pihak industri penyiaran sejak 21 Julai lalu.

"Perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview adalah antara usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

"Ia juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama kerajaan yang membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan TV Digital secara percuma yang juga berkualiti, tanpa langganan bulanan,"katanya.

Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview adalah digalak untuk mendapatkan dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) dan memasang kepada set TV sedia ada atau mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder dan memasang kepada aerial UHF.

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.myFreeview.tv atau hubungi talian 1-800-181-088.

--BERNAMA