Berita Palsu Boleh Mengugat Kestabilan Negara

Laporan/foto: Robin Junang / Zaini Morshidi (Kuching)

MATU, 2 Okt (Malaysiaaktif) -  Penyebar berita palsu boleh dianggap sebagai pemusnah hubungan sesama manusia dan ramai yang tidak sedar bahawa penyebaran berita palsu boleh mengugat kestabilan negara serta memberi impak negatif kepada individu, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

Demikian tegas Ustazah Rayah Zakariah  semasa menyampaikan ceramah di dalam Program Sivik Rohaniah (Al-Mukminin) anjuran Jabatan Penerangan  Daerah Matu  bertempat di Sekolah Kebangsaan Bawang Tian yang dihadiri oleh 100 pelajar  asrama, guru-guru dan ibubapa pelajar.

Dalam ceramahnya, beliau  turut  mengatakan bahawa berita palsu boleh menimbulkan pelbagai bentuk serta persepsi masyarakat dan sekiranya   disalahtafsir boleh memberi kesan terhadap seseorang.

Pelajar mahupun generasi muda hari ini mudah terpengaruh dengan berita palsu. Mereka suka berkongsi tanpa memikirkan kesan akibat daripada sikap tersebut. Generasi muda harus mahir menapis dan menyaring sesuatu maklumat dan perlu mempelajari daripada mereka yang arif tentang sesuatu hal.

“Kebanyakan berita palsu boleh menyebabkan hubungan kemanusiaan rosak dan akhirnya masyarakat jadi porak-poranda. Para pelajar harus mahir membanding berita benar dan berita palsu,” tegas Ustazah  Rayah lagi.

Ustazah Rayah Zakariah menyampaikan ceramah di depan para pelajar, guru dan ibubapa Ustazah Rayah Zakariah menyampaikan ceramah di depan para pelajar, guru dan ibubapa



Dalam ucapan aluan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bawang Tian, Ali bin Likal, beliau memuji pendekatan serta peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan maklumat secara bersemuka bagi memudahkan pemahaman khususnya dalam  kalangan pelajar  sekolah.

“Maklumat yang hendak  dikongsikan seharusnya yang benar, tepat dan tidak mengaibkan serta dapat memberi manfaat kepada orang lain. Jangan  berkongsi perkara yang boleh memudaratkan diri, keluarga mahupun negara,” beritahu beliau lagi.

Di dalam ucapan perasmian oleh Pegawai Penerangan Daerah Matu, Zaini Morshidi, beliau menggesa ibubapa seharusnya  mengambil peranan penting dan memantau tindakan anak-anak dalam dunia tanpa sempadan kerana sekarang maklumat boleh diperolehi secara cepat dan mudah tetapi tidak semuanya betul.

“Hari ini  maklumat seluruh dunia semakin mudah dicapai hanya dengan menggunakan telefon dan internet. Kecanggihan media sosial yang dijana melalui teknologi komunikasi telah merapatkan hubungan manusia namun ada juga keburukannya”

“Kalau dulu berita dunia hanya ditonton melalui televisyen, suratkhabar dan majalah tetapi sekarang maklumat di hujung jari.  Maka awasilah anak-anak anda agar mereka tidak terjebak berkongsi dan menyebar berita palsu,” demikian tegas Zaini lagi.

Beliau turut berkongsi pengalaman tentang komunikasi keluarga atau kumpulan kecil amat penting bagi membina sahsiah generasi muda yang sihat pemikiran dan berperibadian tinggi.