Teknologi Moden Bantu Petani Tingkat Hasil Tanaman

Laporan/foto : Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad, Arshad Hamid (Kluang)

KLUANG, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Dengan matlamat membantu petani meningkatkan hasil tanaman menggunakan cara moden, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Kluang serta dibantu beberapa agensi berkaitan seperti FAMA, Agro Bank dan lain-lain agensi, komited menganjurkan satu program berkaitan pertanian moden, bertempat di Zenxin Organic Park, di sini, semalam.

Seramai 300 perserta yang menyertai program ini telah dibawa melawat ke Zenxin Organic Park sebuah tapak pertanian yang menggunakan sistem fertigasi automatik dalam aktiviti menyiram dan membaja tanaman di mana dalam sesi lawatan tersebut, para peserta telah diberikan penerangan mengenai penggunaan sistem oleh Pengarah Projek Atilze, Azman Ismail.

Sesi penerangan oleh Pengurus Projek Atilze, Azman Ismail. Sesi penerangan oleh Pengurus Projek Atilze, Azman Ismail.



Projek ini telah diselenggara oleh Syarikat Atilze, iaitu sebuah syarikat yang mengetengahkan penggunaan teknologi moden dalam perusahaan pertanian.

Menurut Azman, melalui penggunaan sistem automasi dalam menjalankan aktiviti pertanian, penggunaan air, baja dan juga tenaga kerja akan dapat dijimatkan, di samping itu para petani juga akan dapat memaksimumkan keuntungan daripada hasil jualan tanaman mereka.

Peralatan Smart Agriculture yang digunakan oleh Atilze. Peralatan Smart Agriculture yang digunakan oleh Atilze.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin, dalam ucapannya berkata program ini diadakan bagi menyahut seruan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang menggesa rakyat Johor untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian serta menggunakan teknologi dalam aktiviti pertanian.

"Program hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari peserta yang datang dari daerah Muar, Batu Pahat dan Kulai tidak kurang juga peserta di kalangan anak muda yang berminat dalam bidang pertanian hadir bagi menimba ilmu dan pengalaman tentang pertanian.

Chew Chong Sin bersama peserta setelah selesai sesi taklimat. Chew Chong Sin bersama peserta setelah selesai sesi taklimat.



“Ini menunjukkan bahawa masyarakat masih berminat menjadikan pertanian sebagai salah satu saluran untuk menambah pendapatan selari dengan gesaan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar produk makanan terbesar di Asia Tenggara," ujarnya lagi.

Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kluang Hamka Arpan berkata bahawa lebih 800 hektar tanah pertanian di  daerah Kluang milik persendirian yang tidak diusahakan dan beliau juga turut berkongsi tentang tatacara permohonan geran bagi mengusahakan tanah pertanian yang terbiar.

Tambah beliau lagi, orang ramai yang ingin memohon bantuan kerajaan bagi projek pertanian boleh terus berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah masing-masing bagi mendapatkan maklumat kelayakan dan membuat permohonan.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta menerima pelbagai manfaat, ilmu dan pengalaman yang berharga dan program  seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi memastikan informasi tepat diterima oleh masyarakat.

-NI-