Taklimat Isu Semasa Bantu JaPen Salur Maklumat di Peringkat Komuniti

 

Laporan/foto: Mulyani Nong Che’ dan Lee Nyuk Lan (Kuching)

KUCHING, 5 Oktober (Malaysiaaktif) - Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Sayangi Sawitku kini menjadi keutamaan kerajaan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan barangan buatan Malaysia.

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Sarawak mengambil inisiatif mengadakan taklimat kepada pegawai dan anggota terutama Pegawai Penerangan Daerah bagi memudahkan mereka menyampaiklan maklumat.

Majlis tersebut dirasmi oleh YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, Ahli Parlimen P195 Bandar Kuching. Turut hadir ialah Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Abang Sardon Abang Hj Hashim bersama dengan beberapa pegawai kanan dari KKMM, pegawai dan anggota penerangan negeri serta daerah.

Objektif taklimat tersebut adalah untuk membekalkan penceramah dari JaPen Sarawak dengan informasi dan isu-isu terkini tentang Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sayangi Sawitku.

enolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP, Redzuan Jaris, menyampaikan ceramah berkenaan dengan Kempen Beli Barangan Malaysia enolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP, Redzuan Jaris, menyampaikan ceramah berkenaan dengan Kempen Beli Barangan Malaysia



Taklimat KBBM disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Redzuan Jaris manakala kempen ‘Sayangi Sawitku’ disampaikan oleh Pengurus Komunikasi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Suzana Dato’ Mohamed Dahan.

Pegawai Penerangan Daerah Tatau, Norhidayah Ismail berkata, taklimat tersebut dapat sangat membantu tugasnya dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada penduduk di sekitar Tatau.

Beliau berpendapat, setiap dasar atau kempen baru perlu diperjelaskan menerusi taklimat daripada pakar sesuatu subjek bagi memudahkan mereka bersedia bila memberi penjelasan di dalam ceraman nanti.
“Sebagai Pegawai Penerangan Daerah yang baru, menghadiri sesuatu taklimat tentang sesuatu isu adalah kesempatan yang tidak akan dipersiakan,” tambahnya lagi.

Manakala bagi Pegawai Penerangan Daerah Bintulu, Pauline Sating, maklumat yang disampaikan oleh kedua-dua penceramah tersebut amat bermanfaat sekali.

Muhamad Alwi melontarkan soalan kepada penceramah dalam Sesi Soal Jawab Muhamad Alwi melontarkan soalan kepada penceramah dalam Sesi Soal Jawab



“Menghadiri taklimat anjuran jabatan adalah satu peluang yang baik kerana maklumat yang diperolehi amat berguna dan boleh disebarkan secara meluas di peringkat daerah.”

“Umum sedia maklum bahawa liputan internet di kawasan luar bandar masih rendah, jadi ceramah dan risalah masih memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk luar bandar,” ujar beliau lagi.

Bagi Pegawai Penerangan Daerah Serian, George Humprey Dolek, taklimat seperti itu sememangnya amat membantunya dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan dan taklimat “Sayangi Sawitku” dan khidmat dari Majlis Minyak Sawit Malaysia masih diperlukan.

Beliau berkata bahawa program Sepakat anjuran jabatan merupakan satu medium bagi membantu menjayakan KBBM dengan mempromasikan produk lada hitam buatan Malaysia.