Projek Agroekonomi Desa Alam Shah Pasir Puteh Mengubah Kehidupan Golongan Asnaf Fakir dan Miskin

Laporan/Foto: Rosli Muhammad Pasir Puteh

PASIR PUTEH , 8 Okt (Malaysiaaktif) - Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Gaal, Pasir Puteh merupakan Projek Agroekonomi bagi membantu golongan asnaf fakir di Kelantan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Desa Alam Shah ditubuhkan bagi berkongsi zakat Negeri Selangor ke Negeri Kelantan dan ianya merupakan kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan(MAIK) bagi membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’.

Lembaga Zakat Selangor telah memperuntukan dana pembangunan sebanyak RM10 juta bagi membangunkan tanah seluas 37 ekar yang meliputi 29 ekar sebagai ladang dan lapan ekar tapak perumahan.

Menurut Penyelia Desa Alam Shah, Muhammad Zulfadlil Azhim Ayub, perjalanan Projek Desa Alam Shah mula dirancang pada tahun 2013 lagi dan pra pembangunan mula dilaksanakan pada tahun 2014 sehingga 2015.

Buah labu manis, hasil tanaman sampingan yang ditanam oleh peserta Buah labu manis, hasil tanaman sampingan yang ditanam oleh peserta



“Dalam jangka masa lima tahun berada di Desa Alam Shah ini, peserta didedahkan dengan ‘Pelan Tanaman Ladang Desa Alam Shah’ iaitu bermula bulan Februari hingga Sepetember bagi melaksanakan projek tanaman Cili Kulai dan bagi bulan Oktober hingga Januari bagi melaksanakan ‘Projek Tanaman Selingan’ seperti jagung, labu manis, timun dan bendi. Di samping itu peserta juga terlibat dengan Projek Ternakan Ikan Puyu Siam Baka Chumpon.” tambahnya lagi.

Timun Batang antara tanaman sampingan turut ditanam oleh peserta Timun Batang antara tanaman sampingan turut ditanam oleh peserta



“Bagi menjana lebihan pendapatan peserta juga didedahkan dengan kursus kemahiran dan keusahawanan seperti kursus asas membuat roti, kek, biskut raya, kuih muih dan jahitan. Ilmu dan latihan yang diberikan sepanjang lima tahun menjadi peserta di Program Agroekonomi Desa Alam Shah ini, para peserta dijangka mampu untuk berdikari meneruskan kehidupan bersama keluarga dan tidak lagi tergolong dalam golongan asnaf fakir dan miskin.” kata Muhammad Zulfadlil.

Projek ini telah dirasmikan secara bersama oleh Sultan Selangor dan Sultan Kelantan pada tahun 2016, seramai 28 keluarga telah dipilih menyertai projek ini dan disediakan kemudahan rumah kediaman yang serba lengkap serta disediakan peluang pekerjaan di bawah konsep Pelan Program Pembangunan Insan 5 Tahun yang mensasarkan para peserta akan dapat keluar daripada status golongan asnaf dalam masa lima tahun.

-NAZ