Lebih 700 Usahawan Terlibat Industri Madu Kelulut Seluruh Negara

Foto fail Malaysiaaktif

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) - Seramai 717 usahawan terlibat dalam industri penternakan dan pengeluaran madu kelulut di seluruh negara setakat ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, daripada jumlah tersebut, seramai 20 peserta telah dibantu di bawah Program Agroprenuer Muda berjumlah RM300,000 dalam bentuk input seperti haif/sarang dan bongkah untuk pemeliharaan dan pengeluaran madu kelulut.

“Dengan jumlah tersebut, kementerian memandang baik cadangan mewujudkan ladang madu kelulut dan mengabungkan pengusaha kelulut di bawah satu agensi memandangkan perusahaan ini dilakukan secara individu dan di pelbagai lokasi.

“Walaupun ada kekangan namun kita akan terokai cara yang lebih produktif memandangkan madu kelulut ini hanya terdapat di empat negara iaitu Malaysia, Brazil, Indonesia dan Filipina,” katanya ketika sesi soal jawab lisan hari ini

Beliau menjawab soalan Shabudin Yahaya (PH-Tasik Gelugor) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi pasaran eksport madu kelulut ke luar negara.

Sim berkata bagi meningkatkan pengeluaran madu kelulut dan menarik penyertaan belia dalam industri madu kelulut, kementerian turut menyediakan peruntukan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang penternakan dan penghasilan madu kelulut.

“Antaranya di bawah Program Agroprenuer Muda, peserta daripada golongan belia diberi bantuan, dengan sasaran pengeluaran minimum sebanyak 25 kilogram sebulan dengan pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan.

Menjawab soalan tambahan Shabudin sama ada madu kelulut memenuhi piawaian dan kualiti menembusi pasaran antarabangsa, Sim menjelaskan, Jabatan Pertanian sedang di peringkat akhir untuk membangunkan dokumen Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia Pemeliharaan Lebah dan Kelulut yang dikenali sebagai myGAP.AM.

“Skim pensijilan ini bertujuan mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik dalam pemeliharaan lebah dan kelulut,” tambahnya. --BERNAMA