Strategi Pembelajaran Yang Baik Mencorak Masa Depan

Laporan/foto: Md Ali Hanafiah Hassan (Jempol)


JEMPOL, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 250 orang pelajar daripada empat buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong telah menjayakan Kem Motivasi anjuran SMK Seri Pepatih, di sini baru-baru ini.


Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pepatih, SMK Alam Raja, SMK Felda Palong 7 dan SMK Felda Palong 2.


Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik berkata, pelajar perlu sentiasa berterima kasih dan menghargai jasa guru kerana tanpa guru, kita tidak akan berada di tempat kita sekarang.


“Tunjuk ajar guru juga amatlah penting dalam pengaturan strategi pembelajaran yang berkesan tanpa strategi yang baik kita juga boleh tersasar dalam mencorak masa depan kita,” ujarnya dalam ucapan perasmian program tersebut.




WhatsApp Image 2019-10-09 at 13.00.16 (1) Antara warga sekolah yang hadir ke program tersebut.


Sebelum itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali, menyatakan rasa bangga akan pencapaian pendidikan di Negeri Sembilan yang telah menduduki tempat kedua dalam bidang akademik negara ini selama tiga tahun berturut-turut.


“Pencapaian paling istimewa adalah pada tahun 2018, apabila Negeri Sembilan telah mencapai tahap pencapaian gred akademik yang sama rata di luar bandar dan bandar dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan merupakan satu-satunya negeri dalam negara yang telah berjaya mencapai kejayaan ini,” katanya.


Dalam pada itu, Mazlee juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada SMK Seri Pepatih dan sebuah bas untuk kegunaan pelajar di DUN Palong yang akan ditempatkan di SMK Alam Raja.


Turut hadir, Penyelaras DUN Palong, Abdul Rahman Jaafar, Pengetua-pengetua sekolah Daerah Jempol serta warga sekolah yang terlibat.


-AK