Seramai 263 Posmen Komuniti Direkrut di Sarawak - SKMM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) - Program Transformasi Perkhidmatan Pos di Sabah dan Sarawak berjaya merekrut seramai 263 orang Posmen Komuniti di negeri ini sehingga kini, kata Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak, Adiman Ajem.

Beliau berkata program itu yang kini berada di dalam Fasa ke-4 juga telah berjaya mewujudkan 96 wakil pos komuniti dan sembilan kenderaan Pos-On-Wheels.

"Ini menunjukkan komitment SKMM dalam memacu perkembangan perkhidmatan pos terutamanya di luar bandar,"katanya ketika Sambutan Hari Pos Sedunia 2019 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim dan Pengurus Pos Malaysia Berhad Sarawak Bong Tung Hui.

Posmen komuniti yang diperkenalkan sejak 2010 di negeri ini bertujuan merekrut warga tempatan yang lebih arif dengan kawasan mereka, seperti ketua kampung, ahli jawatankuasa kampung dan petani dengan syarat mempunyai lesen motorsikal, bagi memudahkan penghantaran pos.

Mereka yang terpilih oleh pengurusan Pos Malaysia akan menerima elaun bulanan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak RM500 sebulan.

Pos Malaysia Berhad adalah pelesen SKMM, yang mula mengawal selia industri perkhidmatan pos menggantikan Jabatan Perkhidmatan Pos pada 2001.

Pada majlis berkenaan Adiman turut melancarkan produk terbaru Pos Malaysia iaitu Send Parcel, sebuah platform penghantaran poslaju secara atas talian.

"Dengan kadar terbaik, pengambilan percuma, bonus kredit dan banyak lagi manfaat lain, Send Parcel ini amat sesuai dengan keperluan E-Dagang sekarang," katanya. -- BERNAMA