123 Acara, 15 Ribu Bakal Sertai BSN 2019 Labuan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan) 

LABUAN, 9 Okt (Malaysiaaktif) - Sebanyak 123 acara dengan penyertaan dianggarkan seramai 15 ribu orang bakal memeriahkan Bulan Sukan Negara (BSN) 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud, 123 acara sukan itu bermula dari 1 hingga 31 Oktober yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, swasta, badan korporat dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Labuan.

“Manakala 16 acara utama berlangsung semasa hari pelancaran BSN 2019 pada 12 Oktober ini antaranya Borneo Mental Health Run, Kayuhan Sihat, BSN Family Fun Walk, The Battle Of Aerobik & Fitness Challenge, BSN Explorace, Klinik Kayak dan BSN XPDC, BSN Beach Petanque, Street Soccer dan Pertandingan Gasing Re-Appear.

“Acara-acara yang dianjurkan juga akan disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat selaras dengan kehendak kerajaan agar masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan seterusnya menyokong onjektif utama kerajaan ke arah membentuk negara bersukan,” katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Induk BSN 2019 Peringkat W.P Labuan menyasarkan seramai 6000 orang akan dihimpunkan pada majlis pelancarannya di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

“Program ini juga diharap mendapat sambutan dan sokongan daripada seluruh Warga Labuan kerana melalui program ini nanti masyarakat dapat berkumpul bersama-sama merasai kemeriahan bersukan dalam Sambutan BSN 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada satu sidang media semalam.

BSN 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan akan dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien dan sambutan di Labuan adalah serentak dengan sambutan di peringkat Kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur Sports City.

-SH