Peruntukan RM1.95 Bilion KKMM Terus Kesinambungan Capaian Perkhidmatan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2020 yang diumumkan Jumaat lalu bersifat komprehensif dengan memasukkan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan budaya, justeru merencanakan perancangan sistematik sebuah kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir, KKMM turut menerima peruntukan berjumlah RM1.95 bilion bagi meneruskan kesinambungan capaian perkhidmatan kementerian kepada masyarakat menerusi berbagai program.

“Berdasarkan pengumuman peruntukan bagi KKMM, sejumlah RM1.14 billion adalah untuk mengurus manakala RM0.81 billion adalah pembangunan yang akan menjamin penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan.

“KKMM amat berpuas hati dengan peruntukan kepada NFCP yang mana anggarannya sebanyak RM21.6 billion bagi tempoh 5 tahun adalah untuk memperluaskan liputan jalur lebar yang akan meliputi premis seperti sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos dengan rangkaian gentian optik termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Ini sudah tentu akan meningkatkan pembangunan ekonomi digital dan taraf hidup rakyat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020-2030,” ujarnya ketika merasmikan Taklimat Khas Belanjawan 2020 dan Isu-Isu Semasa di Kompleks KKMM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shakib turut menyentuh usaha kerajaan mewujudkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional bagi memberi kesedaran umum agar rakyat dan agensi berkaitan sentiasa bersedia menghadapi bencana seperti banjir yang kerap berlaku.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menggunakan aplikasi sains dan teknologi dengan melantik pakar dalam bidang berkenaan sebagai penasihat agensi dan selain aspek pengurusan dasar, rakan agensi strategic NADMA seperti KKMM turut memainkan peranan masing-masing dalam memastikan koordinasi operasi berjalan lancar.

“Saya berharap agar dapat mempelajari sesuatu daripada perkongsian maklumat NADMA dan disebarkan kepada masyarakat yang pasti boleh membetulkan salah persepsi bahawa agensi bencana negara lambat bertindak atau tidak berkesan memberikan bantuan dengan lebih pantas,” katanya lagi.