80 Ribu Unit Residensi Wilayah Akan Dibina Menjelang 2030

Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Malaysiaaktif) - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan  pembinaan 80 ribu unit Residensi Wilayah dalam tempoh 10 tahun lagi bagi memenuhi kehendak dan harapan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik di  Kuala Lumpur.

 

Residensi Wilayah adalah pangsapuri kos rendah yang dibina di sekitar Kuala Lumpur dan dijual pada harga yang berpatutan kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah, B40.

 

“Pasaran hartanah kian melambung tinggi, ditambah pula dengan berkurangnya kuasa membeli, maka tidak hairanlah ramai golongan berpendapatan sederhana kini menjadi sebahagian daripada generasi  yang tiada tempat tinggal.  Kadar gaji yang diterima sekadar hanya mampu memenuhi kos sara hidup terutamanya  yang tinggal di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur. Hal ini seakan-akan membantutkan usaha mereka untuk memiliki rumah sendiri,” tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (kiri); Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah); Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong (kanan) ketika sidang media yang dijalankan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (kiri); Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah); Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong (kanan) ketika sidang media yang dijalankan



Menurut beliau  inisiatif Kerajaan menerusi pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM200 ribu  dapat  memenuhi  impian golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Apa yang lebih menarik lokasi residensi  seperti  Residensi  Kepongmas  dan  Residensi  Wangsamas terletak di kawasan strategik dan mudah diakses melalui jalan-jalan utama.

 

“Kawasan kediaman ini boleh juga menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Monorel.  Ia dapat  mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi dan  menjimatkan kos minyak dan penyelenggaraan,” jelas Khalid pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi KepongMas, hari ini.

Sebahagian pemilik rumah yang hadir di majlis penyerahan kunci Unit Residensi KepongMas Sebahagian pemilik rumah yang hadir di majlis penyerahan kunci Unit Residensi KepongMas



"Di Malaysia, kuasa beli kondominium atau pangsapuri bernilai tinggi sangat kurang dan kelonggaran penurunan nilai  hartanah bagi pemilikan asing dilihat dapat menyelesaikan masalah lambakan perumahan yang tidak terjual di negara ini," ujar  beliau ketika  mengulas pembentangan Bajet 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng  Jumaat lalu.

 

Khalid Samad menegaskan kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pemaju-pemaju perumahan yang berkaliber dan mempunyai komitmen  tinggi bagi merealisasikan impian warga Wilayah dalam mencorak kehidupan yang lebih selesa dan dinamik.

-AO