Perak Susuli Penutupan Siaran TV Analog

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Sarah Nur Saad (Ipoh)

MERU, 15 Okt (Malaysiaaktif) - Selaras dengan saranan kerajaan beralih ke siaran televisyen (tv) digital, Negeri Perak secara rasminya menutup siaran tv analog sepenuhnya sekaligus beralih kepada siaran tv digital, tengah malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata peralihan sistem tv analog kepada digital ini merupakan satu usaha baik daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

“Perlaksanaan ini adalah manfaat besar buat rakyat negeri ini khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar kerana bakal menikmati pelbagai saluran tv seperti TV Alhijrah dan Media Prima.

“Era siaran digital ini akan memberi satu pembaharuan dalam kehidupan berteknologi kepada rakyat Perak,” katanya yang hadir di Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak bagi sama-sama mengikuti penutupan siaran tv analog ini.

Dengan penamatan siaran analog ini, pengguna bakal menikmati siaran tv digital secara percuma melalui perkhidmatan myFreeview yang mana sebanyak 15 saluran tv ditawarkan seperti RTM, TV Alhijrah dan Media Prima.

Walau bagaimanpun, pengguna haruslah memastikan peranti tv dilengkapi dekoder DVB-T2 atau penala digital.

-SH