KL Pink Oktober Tingkat Kesedaran Awal Kanser Payudara

Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 16 Oktober (Malaysiaaktif) – KL Pink Oktober merupakan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan atas inisiatif warga kerja Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi meningkatkan tahap kesedaran awal kanser payudara di kalangan wanita.

 

Pelaksanaan kempen ini terus giat dijalankan secara besar-besaran bersama agensi lain untuk menyelamatkan mereka daripada kanser payudara berikutan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan pesakit kanser payudara semakin ketara setiap tahun.

 

Pada tahun 2015, sebanyak 2,928  kes baru dan sebanyak 18,568 kes susulan yang direkodkan di HKL dan hampir 20% kes adalah kanser payudara, manakala pada tahun 2018, sebanyak 3,407 kes baharu dan 21,132 kes susulan sepanjang tempoh 2015 hingga 2018.

 

“Daripada jumlah tersebut 13,028 kes baharu kanser yang ditangani oleh kakitangan kami di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL tidak termasuk angka-angka lain yang direkodkan di  lima buah pusat Onkologi  di bawah KKM,” kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KL Pink Oktober 2019, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam.

Pengarah HKL dan Pengerusi KL Pink Oktober menyampaikan cenderamata kepada Tun Dr. Siti Hasmah Pengarah HKL dan Pengerusi KL Pink Oktober menyampaikan cenderamata kepada Tun Dr. Siti Hasmah



Bilangan kes yang meningkat setiap tahun menjadikan kanser payudara  merupakan pembunuh utama wanita di Malaysia. Lebih  40% daripada pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan adalah pesakit  yang telah berada di tahap ketiga dan keempat.

 

“Salah satu faktor yang menyebabkan masyarakat tidak menjalani saringan dan pemeriksaan awal ialah kurang pengetahuan tentang pengesanan awal kanser payudara dan terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempromosikan rawatan alternatif yang menjanjikan kadar pemulihan yang tinggi tanpa pengesahan klinikal  menjadi penyebab pesakit lewat mendapatkan rawatan hospital,” ulas Ros Suzanna lagi.

 

Seorang daripada 19 orang wanita di Malaysia berpotensi untuk diserang kanser payudara dan hampir 700,000 wanita Malaysia mempunyai potensi menghidap kanser payudara.

 

“Di HKL sendiri, kami hanya mempunyai hanya 9 orang Pakar Perubatan Onkologi untuk menangani 3,407 kes  baharu dan 21,132 kes susulan kanser pada tahun 2018 dan bilangan ini meningkat dari semasa ke semasa” demikian kata Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray.

Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray menyatakan Pengurusan HKL sentiasa memberi sokongan kepada warga kerja HKL yang mengambil inisiatif untuk mendekati masyarakat dan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray menyatakan Pengurusan HKL sentiasa memberi sokongan kepada warga kerja HKL yang mengambil inisiatif untuk mendekati masyarakat dan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka.



 

Oleh kerana  kekurangan pakar inilah yang menyebabkan waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan agak lama. Oleh yang demikian  kaum wanita dinasihatkan untuk mendapatkan pengesanan awal  supaya penyakit kanser  dapat dirawat sebelum ia terlambat.

 

Majlis perasmian KL Pink Oktober telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali di Auditorium Utama HKL di sini.

 

Penganjuran program kali keempat ini amat bermakna apabila DYMM  Raja Permaisuri Agong akan turut menyertai KL Pink Oktober Walk yang akan diadakan di Padang HKL pada 19 Oktober  2019 ini.

 

-AO