Pertandingan Cipta Poster, Video Tawar Hadiah RM200, 000

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menganjurkan pertandingan mencipta poster dan video sempena pelancaran kempen jimat air dengan slogan “Menjadi Wira Penjimat Air” (Be A Water Conservation Warrior).

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata pertandingan itu bermula 15 Oktober 2019 sehingga 15 Januari 2020 dengan ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM200,000 terbuka kepada orang awam.

“Kami menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk 10 hadiah utama dan 150 saguhati bernilai RM500 setiap satu.

“Ia terbuka kepada semua kecuali kakitangan Air Selangor dan senarai pemenang akan diumumkan sebaik tamat tempoh pertandingan.

Jelas Suhaimi, peserta perlu mengikuti empat langkah mudah penyertaan dengan menekan butang 'follow' dan 'like' Air Selangor di laman sosial Facebook dan Instagram.

"Kemudian muat naik hasil karya video berdurasi maksimum satu minit atau E-Poster bertajuk 'JIMAT AIR' di laman sosial peribadi dengan meletakkan tanda #beawaterconservationwarrior.

"Langkah terakhir, peserta perlu mendapatkan 'like' dan 'share' sebanyak mungkin dari pengikut dan pastikan akaun ditetapkan dalam paparan umum," katanya.

Katanya lagi, kriteria pemenang dipilih berdasarkan kreativiti poster dan video yang dihasilkan, mesej dan jumlah 'like' dan 'share' terbanyak.

-NAZ