Tarif Baharu Air Diumumkan Bila Tiba Masanya – Amirudin

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan kadar baharu tarif air di Selangor akan diumumkan apabila tiba masanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai berkata perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan dengan kerajaan pusat dimuktamadkan.

"Belum ada perkembangan dan jika ada kita akan umumkan. Saya janji kita umumkan apabila tiba masanya.

"Ada baiknya tarif air itu dilakukan serentak dengan kerajaan pusat namun air masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kita akan lihat kesesuaiannya," katanya.

Amirudin (tiga dari kiri) menyerahkan bidal air kepada wakil penduduk semasa Majlis Pelancaran Kempen Jimat Air di Batu Caves, hari ini. Amirudin (tiga dari kiri) menyerahkan bidal air kepada wakil penduduk semasa Majlis Pelancaran Kempen Jimat Air di Batu Caves, hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Jimat Air anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.

Pada Jun lalu, Amirudin telah memaklumkan yang kerajaan negeri masih menunggu keputusan kerajaan pusat berhubung kadar tarif air baharu di negeri itu.

Amirudin menunjukkan cara penggunaan bidal yang boleh menjimatkan air. Amirudin menunjukkan cara penggunaan bidal yang boleh menjimatkan air.



Bagaimanapun, Amirudin memberi jaminan kadar baharu itu adalah mengikut kesesuian dengan kemampuan rakyat. Tarif air semasa di Selangor ketika ini pada kadar RM1.39 semeter padu sejak tahun 2006.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata beberapa insentif baharu bakal diperkenalkan dalam Belanjawan Selangor 2020 sebagai membudayakan penjimatan air dalam masyarakat.

“Mungkin saya boleh tengok beberapa fokus dalam belanjawan nanti supaya ada insentif tambahan dan sebagainya untuk galakkan penjimatan air.

"Pertandingan poster dan video menawarkan hadiah sehingga RM200,000 oleh Air Selangor adalah usaha galakkan jimat air supaya menjadi satu budaya dalam komuniti dan masyarakat,” katanya.

-NAZ