Harga Tanah Kampong Bharu Dimuktamadkan Minggu Hadapan

Laporan: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

Foto : Wazari Wazir

 

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Kemelut pelan pembangunan semula kampung Melayu yang berusia hampir 120 tahun di tengah-tengah hutan konkrit bakal diselesaikan dalam masa terdekat ini.

 

Kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertindak sebagai ‘orang tengah’  bakal mengumumkan tawaran harga baharu kepada pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

 

“Sebelum ini, pada sesi townhall  pada 21  September yang lalu, Kerajaan membuat tawaran harga pada kadar RM850 satu kaki persegi kepada pemilik dan pewaris Kampong Bharu. Namun terjadi pertikaian dan perbalahan kerana harga tersebut dikatakan terlalu murah dan tidak berpatutan dengan lokasi tanah Melayu itu,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika ditemui baru-baru ini.

Khalid menyatakan harga terkini tanah di Kampong Bharu akan dimuktamadkan pada minggu hadapan. Khalid menyatakan harga terkini tanah di Kampong Bharu akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.



Khalid turut menyatakan bahawa melalui perbincangan yang telah diadakan bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir baru-baru ini, tawaran yang akan diumumkan pada minggu  hadapan merupakan harga terakhir oleh pihak Kerajaan setelah mengambil kira segala ketidakpuasan hati penduduk di Kampong Bharu.

 

“Hasil maklum balas yang diterima daripada sesi townhall lalu, kami  mendapati lebih 90 peratus pemilik dan pewaris Kampong Bharu bersetuju dengan pelan pembangunan dan tawaran harga sebelum ini.”

Kampong Bharu, kampung tadisional yang masih kekal di tengah bandaraya Kuala Lumpur Kampong Bharu, kampung tadisional yang masih kekal di tengah bandaraya Kuala Lumpur



"Namun, kebanyakan mereka adalah pemilik yang berkongsi tanah lot bersama tujuh hingga 10 pemilik lain dan tidak dapat mencapai persetujuan bersama," jelas Khalid lagi.

 

Tambah beliau, Kerajaan akan berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu bagi menangani masalah tersebut untuk memastikan pembangunan semula dapat diteruskan dan legasi Melayu terus kekal di situ.

 

Khalid Samad turut menegaskan Kerajaan akan mengambil kira pendapat dan kehendak sebenar pemilik dan pewaris tanah demi kebaikan dan manfaat orang Melayu di tengah  bandaraya Kuala Lumpur ini. Menurutnya Kerajaan akan berbincang dan memujuk pemilik serta pewaris tanah untuk menerima tawaran yang dibuat susulan isu ini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

 

-AO