Alam Sekitar Bukan Tanggungjawab Kerajaan Semata

Laporan/foto: Jeanne J Som/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) - Menjaga dan melindungi alam sekitar bukanlah menjadi tugas kerajaan semata, tetapi merupakan tanggung jawab masyarakat keseluruhannya.

Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggung jawab masing-masing dan perlu turut serta menjayakan aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar.

Assaffal menyampaikan ucapan semasa majlis tersebut. Assaffal menyampaikan ucapan semasa majlis tersebut.



Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, setiap insan perlu berganding bahu serta bersatu tenaga bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar.

"Setiap manusia hidup bergantung kepada sumber alam, seperti udara bersih serta flora dan fauna yang terdapat di muka bumi ini.

"Pengaruh manusia dan persekitaran terhadap kepelbagaian biologi di negeri ini adalah antara isu utama yang berkait rapat dengan penjagaan ekosistem," katanya dalam Majlis Anugerah Kinabalu Pengiktirafan Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019 di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh pembantu menterinya, Assaffal P. Alian.

Pemenang penerima Anugerah merakamkan gambar kenangan bersama Assaffal (lima dari kiri) Pemenang penerima Anugerah merakamkan gambar kenangan bersama Assaffal (lima dari kiri)



Dalam majlis berkenaan, Assaffal menyampaikan Anugerah Kinabalu Pengiktirafan Alam Sekitar yang dimenangi oleh Pengetua Sekolah Menengah St. Michael, Penampang, Jennifer Asing.

Sementara itu, Kategori Organisasi (Sumbangan terhadap program kesedaran alam sekitar) disandang Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, manakala Dr. Wong Siew Te penerima Kategori Individu.

Bagi Kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO), ia dimenangi oleh Sabah Wetlands Conservation Society sementara Sharon Raymond Kisil mengungguli Kategori Media.

Menurut Assaffal, anugerah berkenaan bukanlah penanda aras utama sumbangan kita kepada kelestarian alam sekitar, dan usaha bagi meningkatkan indeks kelestarian alam sekitar perlu diteruskan.

Assaffal (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Jennifer (tiga dari kanan) penerima Anugerah Kinabalu Utama - Pengiktirafan Alam Sekitar Tahun 2019, sambil diperhatikan oleh Amirul (dua dari kiri) dan Vitalis (kanan). Assaffal (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Jennifer (tiga dari kanan) penerima Anugerah Kinabalu Utama - Pengiktirafan Alam Sekitar Tahun 2019, sambil diperhatikan oleh Amirul (dua dari kiri) dan Vitalis (kanan).



"Anugerah ini merupakan salah satu inisiatif bersama di antara kerajaan dengan pihak Petronas yang julung kali diadakan untuk mengiktiraf peranan dan tanggung jawab yang ditunjukkan oleh orang perseorangan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa," katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Amirul Aripin; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Vitalis Moduying dan ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Komunikasi Strategik Kumpulan, Rokiah Sulaiman.

ER