Tawaran Terakhir Kerajaan, Kampong Bharu Kekal Milik Warisnya

Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Tawaran terakhir Kerajaan yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad baru-baru ini memastikan hampir 15 peratus Kampong Bharu kekal milik waris dan pemilik tanah asalnya.

 

Dalam pengumuman tersebut, Kerajaan menawarkan sebanyak RM1,000 bagi setiap kaki persegi yang mana daripada jumlah RM1,000 tersebut , RM850 setiap kaki persegi akan dibayar melalui empat pilihan iaitu tunai, hartanah, kombinasi tunai dan hartanah serta pegangan saham sama seperti yang diumumkan pada 21 September lalu.

 

Manakala baki RM150 setiap kaki persegi pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak. Perincian daripada segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

 

Tambahan pula, pemilik juga akan diberi potongan harga sehingga 15 peratus bagi setiap pembelian hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan di Kampong Bharu kelak.

Sidang media khas "Tawaran Baru Kerajaan Mengenai Cadangan Pembangunan Semula Kampong Bharu" telah diadakan di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sidang media khas "Tawaran Baru Kerajaan Mengenai Cadangan Pembangunan Semula Kampong Bharu" telah diadakan di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur baru-baru ini.



 

Menurut Khalid, penawaran saham 15 peratus tersebut membolehkan para pemilik tanah Kampong Bharu tetap mempunyai pegangan dalam projek pembangunan tersebut meskipun tanahnya telah terjual. Di samping menjamin hak pemilikan tanah pemilik asal, mereka juga bakal menerima dividen daripada keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat mengikut nilai peratusan saham masing-masing.

 

Para pemilik juga berhak menyuarakan pendapat dan cadangan mereka terhadap pelan pembangunan semula kampung Melayu yang tertua di tengah-tengah bandaraya ini daripada  segi reka bentuk mahu pun pembangunannya.

 

“Segala khabar angin, tohmahan yang mengatakan saya hendak halau orang Melayu keluar dari Kuala Lumpur  khususnya dari Kampung Bharu  adalah tidak benar," ujar Khalid lagi.

 

Beliau menambah hampir 15 peratus (daripada nilai tanah tersebut) adalah tetap kekal milik mereka dan pemberian diskaun sebanyak 15 peratus bagi pembelian aset di Kampong Bharu adalah untuk menggalakkan mereka kembali semula dan kekal di kawasan tersebut," jelas Khalid pada sidang media khas di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, di sini baru-baru ini.

 

Kampong Bharu, kampong Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang akan dibangunkan tidak lama lagi. (Foto : Wazari wazir) Kampong Bharu, kampong Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang akan dibangunkan tidak lama lagi.
(Foto : Wazari wazir)



"Pegangan saham yang ditawarkan tersebut tidak digalakkan untuk dijual. Sekiranya terdesak juga, dinasihatkan supaya jual kepada orang Kampong Bharu juga dan  bukan orang  luar," katanya lagi.

 

Katanya, tawaran tersebut merupakan tawaran terakhir dan yang terbaik oleh Kerajaan susulan hasil perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebanyak dua kali.

 

Justeru, Khalid menyeru kesemua waris dan pemilik bagi 825 lot tanah Kampong Bharu yang terlibat dalam pelan pembangunan semula ini dapat mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pengambilalihan tanah oleh Kerajaan sebelum 30 November ini.

 

Borang maklumbalas tersebut boleh didapati di laman sesawang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) atau pejabatnya di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu.  Bagi pemilik tanah yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci boleh berhubung terus dengan pihak PKB.

 

-AO