Penjawat Awam dan Swasta Dalami Teknik Pelaporan Berita


Laporan/foto: Genda Sating/Nancy Nais (Kuching)


KUCHING, 1 Nov (Malaysiaaktif) - Seramai 20 orang peserta dari agensi kerajaan dan swasta berjaya menamatkan Bengkel Asas Pelaporan Berita anjuran Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) di sini, petang semalam.


Pengerusi CJA, Alice Wee berkata antara objektif kursus ini ialah untuk mendedahkan kepada pemberita khususnya yang baru supaya tahu cara-cara menulis dengan tepat dan betul terutama sekali dalam isi kandungan berita.


Sepanjang dua hari bengkel ini diadakan, para peserta telah didedahkan bagaimana untuk menjadi seorang wartawan yang baik selain berkongsi pengalaman bersama fasilitator yang hadir memberi bimbingan.


Bengkel kali ini telah menampilkan dua fasilitator yang mahir dan berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan penulisan iaitu, Perunding Eksekutif Media Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Farush Khan Akhbar Khan dan Editor Borneo Post, Francis Chan.


Selain itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Khirudin Drahman @Hussaini turut dijemput bagi menyampaikan taklimat kepada peserta berhubung kerjasama media bersama agensi penguatkuasa iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Farush Khan (kanan) dan Alice Wee (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel Farush Khan (kanan) dan Alice Wee (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel



Salah seorang Wartawan dari akhbar Bahasa Inggeris Sarawak Tribune, Allan Jay Evangelista ketika ditemui berkata bahawa bengkel ini dapat mengingatkan semula apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh seseorang wartawan disamping membantu dalam penulisan yang cepat dan padat.



Manakala, Muhammad Arfan Julaihi dari Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak berkata, bengkel ini memberikan pengalaman yang berguna terutamanya mereka yang baharu sahaja berkecimpung dalam bidang penulisan disamping merapatkan lagi hubungan baik bersama media dan agensi kerajaan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan media