Membentuk Belia; Umpama Proses Pembentukan Berlian

Laporan/foto: Robin Junang (Kuching)


KUCHING, 4 November (Malaysiaaktif) -  Membentuk belia yang berjaya, berani, tegar dan berdaya saing pada zaman ini umpama satu proses seperti mana pembentukan berlian yang asalnya daripada bahan karbon seperti grafit atau batu arang.


“Membentuk belia untuk maju, berdaya saing, tegar, berani, berilmu dan berjaya masa kini adalah proses umpama pembentukan berlian daripada bahan lembut menjadi bahan keras yang bernilai tinggi kerana hari ini banyak cabaran harus dihadapi oleh golongan belia”.


Demikian kata Ahmad Qadri Basri, presiden BERLIAN Sarawak di dalam ucapan aluannya semasa Majlis Pelancaran Makan Malam Tahunan dan Pengiktirafan yang dirasmikan oleh Yussibnosh Balo, ADUN N5 Tellian merangkap penasihat BERLIAN bertempat di Lime Tree Hotel Kuching.


Beliau merupakan salah seorang usahawan belia yang berjaya dan pernah merangkul gelaran Anugerah Belia Sarawak 2018, Anugerah Belia Perdana 2019, Anugerah Putra Intelek UPM, Anugerah Naib Canselor UPM dan kerap terlibat memberi ceramah terutama dalam bidang keusahawan, kepimpinan, pengurusan acara, latihan, seminar awam, program kerjaya dan kebeliaan.


Manakala di dalam ucapan perasmian, Yussibnosh Balo menyeru agar belia sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi dan berkembang menjadi sebuah pertubuhan belia yang maju.


“Menubuh dan mengembangkan pertubuhan ini umpama juga proses perkembangan kehidupan dari seorang bayi kepada seorang dewasa iaitu meniarap, merangkap dan berjalan. Kesabaran dan kegigihan mesti ada sekiranya anda ingin berjaya,” tegas beliau lagi.


Lebih kurang 50 orang belia terdiri daripada exco BERLIAN serta ahli hadir bagi pelancaran pertubuhan tersebut dan seterusnya memberi pengiktiran kepada mereka yang terlibat di dalam penubuhannya.


BERLIAN merupakan sebuah persatuan yang didaftarkan di bawah Pertubuhan Belia (ROY), dianggotai oleh beberapa anak muda daripada pelbagai latarbelakang akademik, profesion, agama dan etnik.


Persatuan ini dibuka kepada belia Sarawak tidak mengira latarbelakang akademik, profesion, agama, etnik dan sebagainya. Ia merupakan satu platform untuk bertukar idea, pendapat dan merancang program yang bersesuaian bagi membentuk masa depan belia Sarawak menjadi insan berjaya.


Penubuhan BERLIAN juga bertujuan untuk mengerak dan menyahut cabaran agar belia hari ini mampu menjadi barisan pelapis pemimpin, usahawan, ahli korporat, pendidik, budayawan dan sebagainya untuk bersaing merebut peluang bagi memajukan diri, keluarga, organisasi dan negara.


Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertubuhan ini boleh menghubungi beliau menggunakan Facebook Ahmad Qadri Baseri untuk mendapatkan maklumat lanjut.