Alumni UUM Sabah Dekati Pelajar Sekolah Golongan B40

Laporan/foto: Persatuan Alumni UUM (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 7 Nov (Malaysiaaktif) - Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang memuji Universiti Utara Malaysia (UUM) Chapter Sabah atas usaha mendekati golongan B40 melalui pelaksanaan program khidmat masyarakat yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Dua, baru-baru ini.

Menurut Jennifer, usaha tersebut ternyata mampu menyuntik semangat dan dorongan kepada para pelajar golongan B40 untuk terus maju ke hadapan dalam mencapai kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi.

“Akibat ketidakmampuan daripada segi ekonomi, mereka terlepas banyak peluang memajukan diri dan keluarga, bahkan tidak mampu mendapat pendidikan terbaik, sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang



“Justeru, usaha alumni UUM Chapter Sabah memperkasa peluang bagi golongan ini perlu dipertingkatkan sesuai dengan saranan Naib canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani semasa Majlis Konvokesyen Ke-32 UUM baru-baru ini, yang mana Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan untuk ‘bayar balik’ kepada masyarakat selepas berjaya menempa kejayaan sebaik menamatkan pengajian di universiti,” ujarnya ketika hadir Majlis Makan Malam Amal Alumni UUM Chapter Sabah.

Tambah beliau, cabaran untuk memperkasa peluang kepada golongan sasar tidak hanya menjadi tanggungjawab kepimpinan tertinggi Pusat Alumni UUM, tetapi juga para warga alumni lain secara keseluruhan.

“Penanda aras pencapaian dan amalan terbaik alumni terhadap masyarakat tempatan amnya di Sabah dalam gerak kerja Alumni UUM adalah merupakan tuntutan alma mater,” tambahnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali



Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali memaklumkan seramai 42 pelajar golongan B40 SK Inanam Dua menerima bantuan kewangan serta bantuan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris iaitu Kahoot.com.

“Bagi memastikan universiti kekal relevan kepada isu sivil, sosial, ekonomi dan moral pada masa hadapan, UUM berterusan memberikan sumbangan kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat,” tambahnya.

Turut hadir pada Majlis Makan Malam Amal itu, Pengurus Besar Telekom Malaysia (Sabah), Dato’ Hj. Mohd. Sainal Mohd. Amin dan Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sabah), Dr. Alim Ampira yang juga merupakan alumni UUM.

ER