Terminal Jeti Feri Kukup Masih Belum Dapat Beroperasi

Laporan/foto : Najib Mohaini/Shaiful Nizal Ismail (Johor)

PONTIAN, 6 Nov (Malaysiaaktif) - Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal mengesahkan bahawa Terminal Feri Kukup masih belum boleh beroperasi berikutan beberapa masalah yang dihadapi oleh syarikat konsesi pengendali feri sebelum ini.

“Feri dari Malaysia masih belum diberikan kebenaran untuk berlabuh di Tanjung Balai (Indonesia) akibat masalah hutang yang dihadapi syarikat pengendali feri yang lepas.

"Kerajaan Indonesia ingin memastikan syarikat pengendali yang baharu ini tidak ada kena mengena dengan syarikat yang lepas," ujarnya.

Terdahulu pada 1 September 2019, operasi terminal feri Kukup terpaksa dihentikan berikutan syarikat konsesi pengendali feri sebelum ini mempunyai hutang dengan kerajaan Malaysia dan Indonesia yang menyebabkan operasi Terminal Feri Kukup dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Suasana Jeti Feri Antarabangsa Kukup sebelum diarahkan tutup. Kredit foto : Front Desk Suasana Terminal Jeti Feri Antarabangsa Kukup sebelum diarahkan tutup. Foto - Front Desk



Dr. Sahruddin berkata, beliau telah menghubungi pihak Indonesia dan dalam tempoh masa terdekat, pihak kerajaan negeri akan menghantar wakil bagi membincangkan perkara ini dan beberapa dokumen akan dihantar agar feri dari Terminal Kukup dapat berlabuh di Tanjung Balai.

“Dalam beberapa hari ini kita akan menghantar wakil ke sana dan kita akan melihat bagaimana hasil perbincangannya terlebih dahulu.

"Kita akan pastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin agar terminal ini boleh beroperasi," katanya semasa sidang media.

Di tanya mengenai masalah pasport palsu yang sering berlaku, beliau berkata untuk kali ini kerajaan negeri sudah melantik PAJ (Perbadanan Pengangkutan Awam Johor) iaitu agensi dibawah kerajaan negeri untuk mengendalikan operasi terminal feri Kukup.

"Saya berharap dengan penguatkuasaan lebih ketat dari pihak kastam dan imigresen, tiada lagi kes-kes seperti pasport palsu akan berlaku," katanya lagi.
-NI-