Teknologi Komunikasi Positif Penting Membentuk Pekerja Bersaing Secara Sihat - KSU KKMM

foto: Ihsan Bernama


PUTRAJAYA, 7 Nov (Malaysiaaktif) - Teknologi komunikasi yang positif harus menjadi satu agenda yang penting untuk diambil perhatian ke arah membentuk pekerja yang boleh bersaing secara sihat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad.

Beliau berkata pekerja khususnya dalam perkhidmatan awam juga harus memiliki moral yang tinggi dengan menggunakan teknologi masa kini untuk memberi impak positif.

"Kita semua sedia maklum bahawa media sosial pada hari ini telah banyak memberi kesan kepada kehidupan, sama ada secara positif mahupun negatif. Teknologi komunikasi sebenarnya membenarkan masyarakat menambah jaringan perhubungan sosial, komunikasi dengan keluarga dan rakan serta untuk tujuan tugasan lain.

"Sama ada teknologi ini benar-benar memberi kesan positif dan negatif adalah bergantung kepada sejauh mana individu meletakkan nilai perhubungan sosial tersebut," Suriani berkata demikian dalam majlis penutup Hari Psikologi 2019 bertema "Fenomena Media Sosiaā€¯, di sini hari ini.

Dianjurkan bersama KKMM, Kementeri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pembangunan Wanita, program itu ialah salah satu inisiatif untuk memperkasakan perkhidmatan psikologi dalam perkhidmatan awam.

Menurut Suriani, kajian oleh sekumpulan pengkaji Barat terhadap teknologi penyumbang kepada pengurangan keterlibatan sosial dan kesejahteraan psikologi mendapati bahawa teknologi dicipta untuk tujuan komunikasi dan tidak memberi implikasi terhadap hubungan sosial dengan keluarga.

Namun, katanya menurut kajian oleh Bikman, Eveland, Hampton dan Wellman pada 2015, mendapati teknologi komunikasi dalam kehidupan ternyata boleh meningkatkan penghargaan individu terhadap orang lain yang mereka tidak dapat berkomunikasi secara bersemuka.

Suriani berkata internet telah banyak mengubah cara kehidupan dan bentuk komunikasi masyarakat pada sekitar awal tahun 2000, namun kesan terhadap pencapaian teknologi itu sering menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan pengkaji sosial.

Katanya sebanyak 28.7 juta rakyat Malaysia telah menggunakan internet pada 2018 untuk pelbagai jenis kegunaan antaranya perbankan dalam talian, perhubungan awam, pendidikan dan perkhidmatan.

-- BERNAMA