Pewaris Muda Pupuk Budaya Bermasyarakat

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)


PAPAR, 8 Nov (Malaysiaaktif) - Menyelami budaya sopan-santun dan nilai-nilai murni penduduk Kampung (Kg) Kawang menerusi aktiviti Pewaris Muda merupakan suatu pengalaman berharga buat pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).




Welddy Simun, pelajar dari IKBN, Kinarut. Welddy Simun, pelajar dari IKBN, Kinarut.


Pelajar kursus Penyejukbekuan dan Penyaman Udara (HVAC), Welddy Simun, 20, mengakui penyertaannya dalam aktiviti tersebut merupakan suatu pengalaman berharga apabila diberi peluang untuk menyelenggara penghawa dingin di masjid kampung tersebut.


“Saya berasa bertuah kerana medium tersebut dapat membuktikan ilmu yang diperoleh di IKBN telah digunakan sebaiknya melalui khidmat masyarakat seumpama ini.




Pelajar-pelajar IKBN sedang menyelenggara penghawa dingin di Masjid Nurul Iman, Kg.Kawang. Pelajar-pelajar IKBN sedang menyelenggara penghawa dingin di Masjid Nurul Iman, Kg.Kawang.


“Melalui program ini, saya dapat mendekati masyarakat kampung berbangsa Bajau Sama yang rata-ratanya beragama Islam dan berpeluang melihat betapa eratnya hubungan silaturahim antara masyarakat Kawang yang turun bersama-sama menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan kenduri sekampung,”ujarnya.


Seramai 30 orang pelajar dari IKBN serta 20 orang pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sabah terlibat dalam program tersebut.




Salah seorang peserta sedang menyelenggara penghawa dingin. Salah seorang peserta sedang menyelenggara penghawa dingin.


Mengulas lanjut, Welddy menyambut baik dan amat menghargai tambahan elaun RM100 bagi pelajar Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2020.


“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan menaikkan elaun sebanyak RM100 bagi pelajar menerusi Bajet 2020 yang baharu sahaja diumumkan.




Pelajar-pelajar sedang menyelenggara penghawa dingin. Pelajar-pelajar sedang menyelenggara penghawa dingin.


“Penambahan elaun tersebut amat bermakna kerana menunjukkan bahawa bidang TVET ini mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan sekali gus dapat menarik lebih ramai lagi golongan anak muda menceburi bidang TVET,” jelasnya yang bercita-cita untuk memiliki perniagaan penyelenggaraan penghawa dingin suatu hari nanti.


Dalam pada itu, tenaga pengajar bagi kursus HVAC di IKBN Kinarut, Rosmiwati Abdul Rahman berkata program ini memberi ruang kepada pelajarnya mempraktikkan ilmu yang diperoleh dalam aktiviti khidmat masyarakat di Masjid Nurul Iman, Kg. Kawang ini.




Rosmiwati Abdul Rahman, Pensyarah IKBN, Kinarut. Rosmiwati Abdul Rahman, Pensyarah IKBN, Kinarut.


“Platform ini sesuai diadakan kerana dapat memberikan pengalaman baharu kepada pelajar dengan mencurahkan kemahiran yang ada sambil beramal iaitu melalui kerja selenggara penyaman hawa di masjid ini.


“Melalui program seumpama ini, pelajar berpeluang bersemuka dengan masyarakat, menimba pengalaman seterusnya membina hubungan silaturahim antara mereka,” katanya.




Hassan Johan, AJK Masjid Nurul Iman, Kawang. Hassan Johan, AJK Masjid Nurul Iman, Kawang.


Beliau ditemui semasa program Pewaris Muda anjuran Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) dengan kerjasama IKBN Kinarut bersama dengan masyarakat Kampung (Kg) Kawang, baru-baru ini.


Sementara itu, salah seorang Ahli Jawatankuasa Masjid, Hassan Johan meluahkan rasa bangga kerana JaPen memilih Kg. Kawang sebagai lokasi Program Pewaris Muda kali ini.




Penduduk kampung sedang mengacau adunan atau 'dadih' kuih lamban. Penduduk kampung sedang mengacau adunan atau 'dadih' kuih lamban.


Menurut beliau, pemilihan masjid tersebut yang merupakan pusat ibadat sangat sesuai bagi menyemarakkan dan membina ukhwah dalam kalangan umat Islam di kampung itu.


“Melalui program ini, generasi muda di kampung ini dapat bersama-sama mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan menyemarak perpaduan.




Penduduk kampung sedang membungkus kuih lamban Penduduk kampung sedang membungkus kuih lamban


“Mesej yang cuba diterapkan melalui program seumpama ini sangat berkesan kerana sasaran untuk menjadikan generasi muda menjunjung nilai-nilai murni dan cinta negara itu tercapai matlamatnya,” katanya.


Tambahnya, beliau amat yakin dengan pemupukan nilai-nilai murni dan jati diri dalam kalangan pelajar, belia dan masyarakat setempat akan dapat mengukuhkan ukhwah dan silaturahim sesama mereka.




Penduduk kampung sedang membungkus kuih lamban Penduduk kampung sedang membungkus kuih lamban


Hassan juga berharap agar program seumpama ini diadakan lagi di kampung ini bagi membolehkan masyarakat terutamanya generasi muda memahami budaya, agama dan mengangkat perpaduan sebagai tunjang kemakmuran negara.


Turut diadakan pada program tersebut ialah sukan rakyat serta program kerohanian yang menampilkan Pengarah Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah, Samin Ongki.


ER