Tidak Ada Tanda-Tanda Jumlah Petugas Bernama, RTM akan Dikurangkan – Gobind

PUTRAJAYA, 11 Nov (Malaysiaaktif) - Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata setakat ini tidak ada sebarang petanda yang menunjukkan bahawa jumlah petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dikurangkan.

Malah katanya kedua-dua entiti itu, terutama Bernama, melakukan banyak perubahan dan pembaharuan yang bersesuaian untuk mengikuti arus peredaran teknologi.

“Bernama sedang menjalani banyak pembaharuan, ia telah mula melaksanakan pelbagai usaha untuk berubah… kita lihat, saya rasa anda sendiri dapat lihat program-program baharu, pembaharuan, dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

“Jadi soal pekerjaan sebenarnya tidak ditimbulkan kepada saya, tapi itu sesuatu yang saya serahkan kepada Bernama untuk memutuskannya, saya rasa mereka akan rujuk kepada saya mengenainya nanti, tapi pada masa ini tidak ada petanda jumlahnya akan dikurangkan,

“Begitu juga dengan RTM, kita sedang melihat bagaimana kita boleh mengubahnya, kerana kita tahu perkhidmatan sistem analog baharu sahaja ditamatkan dan diganti dengan perkhidmatan sistem digital. Sebaik sahaja sistem digital dimulakan, pasti kemudiannya ada potensi bagi kewujudan lebih banyak stesen-stesen televisyen, lebih banyak saluran… lebih banyak kandungan,” katanya semasa menjawab persoalanan sekiranya ada rancangan untuk mengurangkan jumlah petugas di Bernama dan RTM, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Media Prima Bhd.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen tahunan DAP di sini hari ini.

Pada 1 November lepas, syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelaksanaan transformasi perniagaan syarikat dan langkah-langkah penstrukturan semula yang dijangka siap dalam suku pertama 2020.

Media Prima bagaimanapun memberi jaminan bahawa semua petugas yang terlibat dalam langkah-langkah itu akan menerima pakej pampasan yang adil dan saksama.

Gobind berkata lanskap media berubah dengan pesat di seluruh dunia, dan akhirnya bergerak kearah media yang lebih berasaskan teknologi, yang memberi kesan hebat kepada perkembangan media cetak tradisional.

"Jadi ini sebabnya kita perlukan banyak syarikat media tradisional menimbang semula model perniagaan mereka, dan akhirnya ia berbalik kepada daya maju komersial dan saya rasa mereka perlu membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka, dan bagaimana mereka akan kekal sebagai syarikat media untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

"Namun sekali lagi saya tekankan, kita perlu fokus kepada soal kebajikan petugas, soal kerja amat penting… dalam kes Utusan Malaysia, amat penting untuk memastikan para pekerja dibayar (sewajarnya),” katanya.

Pada 9 Oktober lepas Utusan Malaysia menghentikan operasinya selepas berhadapan dengan masalah kewangan, manakala perkhidmatan para petugasnya ditamatkan pada 31 Oktober.

Disember lepas, sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan syarikat, 800 petugasnya menerima tawaran Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela (VSS).

Sementara itu Gobind berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi-agensi media bagi mencari mekanisma baharu dalam menangani isu penyebaran berita-berita palsu.

Beliau berkata perkara ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan pihak media untuk menanganinya.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan beberapa ahli media tertentu untuk melihat sekiranya mereka boleh menampilkan satu platform di mana kita boleh mengadakan satu mekanisma bagi menangani isu-isu berkaitan penyebaran media palsu,” katanya.

Terdahulu, Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor dalam ucapannya berkata pihaknya sudah berusaha menambah baik infrastruktur internet di seluruh negara dalam memastikan persediaan untuk menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Kita boleh berbangga apabila kita mampu mengurangkan harga perkhidmatan internet jalur lebar, agar dapat memberi nilai yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.

-- BERNAMA