Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air kepada Orang Awam

 

Laporan/foto: S.Farisah /Allyshia (Pahang)

KUANTAN, 11 November (Malaysiaaktif) - Kawasan Pantai Timur seperti yang diketahui umum setiap tahun akan mengalami musim banjir. Justeru itu pelbagai kempen atau aktiviti kesedaran dibuat bagi memberi pendedahan pada orang awam.




Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak turut diadakan. Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak turut diadakan.


Salah satu kempen yang diadakan di Negeri Pahang ialah Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air Tahun 2019 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. Program ini turut berlangsung serentak di dua lagi lokasi iaitu di Pantai Chenang, Langkawi dan Pantai Awam Desaru Bandar Penawar, Johor.


Program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah.


Data dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2019 (Januari - September), sebanyak 171 adalah kes kematian akibat lemas, pengurangan sebanyak 8% kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 iaitu 186 kes. Bagi tahun 2017, sebanyak 327 kes dicatat namun jumlah kes berkurangan pada tahun 2018 kepada 309 kes. Salah satu inisiatif pihak Kementerian ialah melancarkan kempen berkenaan terutamanya menjelang cuti sekolah untuk mengurangkan kadar kes akibat insiden mati lemas.




Demonstrasi menyelamat di lautan dijayakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Demonstrasi menyelamat di lautan dijayakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Selain itu, program ini dilihat sebagai salah satu platform dalam memberi pendidikan asas keselamatan dan kesedaran mengenai bahaya aktiviti air    di tempat yang sering dikunjungi oleh orang awam. Pihak Bomba memberi pelbagai tips dan langkah keselamatan kepada orang awam seperti memastikan keselamatan diri terlebih dahulu sebelum bantuan dihulurkan kepada orang lain serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan di badan atau takungan air.


Program ini juga turut memperlihatkan demonstrasi cara-cara menyelamat di lautan melalui penggunaan aset-aset jabatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan  Maritim Malaysia (APMM) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapat sambutan menggalakkan dari orang awam yang berkunjung ke Pantai Teluk Cempedak. Sejurus selesai demonstrasi berkenaan, sidang media turut                     diadakan bagi para wartawan dan media untuk sesi soal jawab selain beramah mesra bersama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  itu.


-KN