Perpaduan Paksi Gerak Kerja Japen Masa Hadapan

Laporan/foto: Aishah Omar (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 12 Nov (Malaysiaaktif) - Penekanan kepada mesej perpaduan perlu menjadi paksi kepada semua gerak kerja Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) mencapai matlamatnya. Walaupun WKB hanya bermula pada 2021, namun warga Japen harus bermula dari sekarang untuk membina landasan yang kukuh ke arah matlamat tersebut.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir, berkata penganjuran majlis ini melibatkan gabungan dan gandingan gerak kerja secara padu antara semua pihak di peringkat ibu pejabat dan negeri dan semangat kerja berpasukan ini perlu dikekalkan bagi menghasilkan inovasi yang boleh mengharumkan nama JaPen pada peringkat yang lebih tinggi.

TKSU KKMM Shakib Ahmad Shakir (3 dari kanan) hadir merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen 2019. TKSU KKMM Shakib Ahmad Shakir (3 dari kanan) hadir merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen 2019.



 

“Saya berharap supaya JaPen dapat meneliti semula aktiviti-aktiviti yang telah diadakan pada masa lalu, mengkaji kelemahannya dan memberikan pembaharuan supaya ia membawa impak yang lebih baik dan  cemerlang pada masa hadapan,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen, di sini hari ini.

 

Shakib menjelaskan inovasi bermaksud memperkenalkan sesuatu idea, kaedah, sistem atau proses yang baharu kepada gerak kerja atau produk sedia ada dan dalam konteks perkhidmatan awam, ia boleh ditafsirkan sebagai kaedah untuk menghasilkan produk perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

 

Pengarah Bahagian Media Siber, Haji Swadi Guliling mengetuai bacaan ikrar. Pengarah Bahagian Media Siber, Haji Suwadi Guliling mengetuai bacaan ikrar.



 

“Sistem penyampaian perkhidmatan awam yang rigid, lapuk dan tidak mesra pelanggan sudah tentu akan menyukarkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripada agensi Kerajaan," katanya.

 

“Sebagai penjawat awam, kita tidak harus terperangkap dengan rasa puas hati dan selesa dengan pencapaian sedia ada sebaliknya kesungguhan untuk bersama memahami dan menyelami keperluan masyarakat dengan cara lebih luas dan holistik merupakan kunci kepada keberhasilan inovasi dan kreativiti yang tinggi dan cemerlang,” tambah beliau lagi.

 

Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen 2019 diadakan setiap tahun bagi menghargai warga kerja Japen yang membudayakan kreativiti dan inovasi dalam usaha mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan JaPen kepada masyarakat.

Bergambar ramai di akhir acara Hari Inovasi dan Kecemerlangan 2019. Bergambar ramai di akhir acara Hari Inovasi dan Kecemerlangan 2019.



 

Terdapat 10 anugerah diberikan iaitu empat kategori anugerah individu, tiga kategori berkumpulan dan tiga Anugerah Khas Inovasi, dengan sebanyak 53 pencalonan diterima dari seluruh negara bagi setiap anugerah yang dipertandingkan.

 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Roselindawati Abdul Rahman, pengarah-pengarah negeri dan bahagian serta pegawai kanan JaPen.

-AO