Kecemerlangan Pelajar Inspirasi Pendidikan Berkualiti

Laporan/foto : Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak)

TANGKAK, 17 Nov (Malaysiaaktif) - Sambutan Anugerah Kecemerlangan 2019 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Tangkak telah disambut meriah dengan kehadiran para pelajar dan ibu bapa di sini, pagi tadi.

Sekolah ini yang mempunyai seramai hampir 400 orang pelajar termasuk pra sekolah bukan sahaja memberi fokus kepada bidang pendidikan malah sentiasa berusaha meningkatkan imej sekolah.

Azhar percaya sikap tanggungjawab guru dan ketekunan para pelajar ketika sesi pembelajaran adalah faktor utama dalam mencapai kejayaan. Azhar percaya sikap tanggungjawab guru dan ketekunan para pelajar ketika sesi pembelajaran adalah faktor utama dalam mencapai kejayaan.



Pelbagai kejayaan telah diraih melalui aktiviti kokurikulum dan bidang sukan, seperti Kejohanan Squasy Peringkat Majlis Sukan Sekolah Negeri Johor (MSSJ) di mana mereka telah berjaya mara ke peringkat akhir dan merangkul gelaran naib johan di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Peringkat Daerah (MSSD).

Lebih membanggakan apabila berkat hasil bimbingan dan kerjasama para guru sekolah ini, mereka turut dinobatkan sebagai johan Pertandingan Landskap Peringkat Daerah Tangkak 2019 dan tempat kelima dalam pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Syed Ibrahim percaya para pelajar akan dapat meningkatkan prestasi pelajaran dengan mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Syed Ibrahim percaya para pelajar akan dapat meningkatkan prestasi pelajaran dengan mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.



Guru Besar SK Bandar Tangkak, Azhar Ahzam Ismail melalui ucapannya menyatakan penghargaan kepada seluruh tenaga pelajar di sini.

"Saya percaya sikap tanggungjawab guru dan ketekunan para pelajar ketika sesi pembelajaran adalah faktor utama dalam mencapai kejayaan.

"Sebenarnya agak sukar sekolah ini beroleh kecemerlangan tanpa penglibatan guru-guru yang berkemahiran dan berkualiti, sebagaimana yang dikecapi hari ini," ujarnya lagi.

Ibu bapa yang hadir memeriahkan majlis Anugerah Kecemerlangan 2019 di SK Bandar Tangkak. Ibu bapa yang hadir memeriahkan majlis Anugerah Kecemerlangan 2019 di SK Bandar Tangkak.



Beliau turut berharap agar pementasan Puteri Ledang yang akan diadakan pada 20 November ini mampu mengembangkan lagi bakat seni para pelajar sekolah ini.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh ketika menyampaikan ucapan di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di sekolah ini berkata, beliau yakin para pelajar akan dapat meningkatkan prestasi pelajarannya dengan sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.

"Kita sebagai ibu bapa jangan sesekali alpa dengan kemudahan teknologi yang semakin canggih kerana pada hari ini, pengaruh gajet mampu mengakibatkan anak-anakĀ  semakin terlupa dengan keadaan sekitarnya sehingga masa mereka akan terbuang begitu saja dan ada kalanya ia juga mampu menggugat keselamatan mereka," kata Syed Ibrahim.

Acara penyampaian hadiah kepada para pelajar yang cemerlang akan dijadikan sebagai inspirasi bagi mencapai pendidikan yang berkualiti di sekolah ini.
-NI-