Sketsa SMK Durian Tunggal Raih Kejuaraan Berganda

Laporan/ foto: M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 18 Nov (Malaysiaaktif) - Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal dinobatkan Johan Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang di sini, Sabtu lalu.


Pertandingan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2019 bertujuan menggalakkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya tanggungjawab pengguna dalam sistem ekonomi negara.


Menurut guru pembimbing, Chan Chin Ho, 39, mereka sama sekali tidak menyangka dapat memenangi tempat pertama kerana saingan hebat daripada peserta-peserta bertanding.


"Terdahulu kami yang membawakan sketsa Berkat telah menewaskan pasukan Johor dan Negeri Sembilan di peringkat Zon Selatan yang membawa kami mewakili Zon Selatan ke Peringkat Kebangsaan,” ujar Chan.


"Pasukan Sketsa Berkat ini terdiri daripada 20 orang murid yang berbilang kaum dari tingkatan satu dan dua orang guru pembimbing. Selepas memenangi pertandingan peringkat Zon Selatan kami mempergiatkan sesi latihan sebagai persedian ke Peringkat Kebangsaan, dan ia membuahkan hasil yang dikecapi pada hari ini.


"Atas usaha gigih pelajar-pelajar dan sokongan pihak pengetua dan guru, kami berjaya memenangi beberapa pertandingan pada tahun ini antaranya Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Jabatan Penerangan dan Johan Science Creative Perfomance sempena Science Technology Education Festival SCITECH 2019 anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim," katanya ketika ditemui selepas program.


Johan menerima RM3,000 berserta Sijil Pencapaian dan trofi, turut membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Alya Syauqina Syaharum) dan Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Muhammad Dzaheer Jabimin) yang membawa pulang RM200 Sijil Pencapaian dan trofi.




SMK Durian Tunggal Johan Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2019. SMK Durian Tunggal Johan Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2019.


-KN