Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap - ‘Alam Berajo, Luak Berpenghulu'

Laporan/foto : Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

KUALA PILAH, 18 Nov  (Malaysiaaktif) - Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, telah berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, di sini semalam.

Istiadat ini adalah upacara mengulang taat setia Penghulu-penghulu Luak yang terdiri daripada Luak Ulu Muar diketuai oleh Datuk Bendahara Setia Maharaja Setia Lela Pahlawan, Luak Jempol Datuk Lela Putra Setiawan, Luak Terachi Datuk Anjah Pahlawan, Luak Gunung Pasir Datuk Orang Kaya Mempasir Setiawan dan Luak Inas Datuk Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh.

Dalam istiadat tersebut, Penghulu-penghulu Luak ini mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan membaca lafaz taat setia terhadap baginda.

WhatsApp Image 2019-11-18 at 08.15.50 Penghulu Luak Menjunjung Duli sebelum melafaz taat setia.



Tuanku Muhriz bertitah, istiadat ini mencerminkan taat setia rakyat dan kedaulatan Raja sebagai pemerintah negeri dan Penghulu-penghulu Luak di bawah naungan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan melaksanakan istiadat ini menepati perbilangan adat "Alam Berajo, Luak Berpenghulu".

“Beta yakin para Penghulu Luak ini akan melaksanakan tanggungjawab di luak masing-masing dengan jujur dan amanah melalui ikrar dan lafaz taat setia yang telah disembah,” titahnya.

Baginda turut bertitah bahawa Adat Perpatih merupakan tonggak kepada keutuhan Negeri Sembilan dan pembentukkan masyarakat yang harmoni sejak turun temurun manakala konsep dan prinsipnya pula perlu diterapkan kepada generasi muda agar mereka dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Istiadat Menurun dan Memasang Alat Kebesaran serta Istiadat Bersiram telah pun diadakan terlebih dahulu pada hari Jumaat dan Sabtu yang lalu yang mana Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan berangkat ke istiadat bersiram di  Panca Persada dengan menaiki Takhta Rencana yang dihela oleh Pegawai 99.

WhatsApp Image 2019-11-18 at 08.15.51 Baginda berdua menaiki Takhta Rencana menuju ke Panca Persada.



Perarakan tersebut diiringi Yang Amat Mulia Putera Yang Empat, Yang Mulia Anak Raja Bergelar, Kerabat Diraja, Datuk Penghulu Luak, Datuk Adat Istana, Lembaga Luak dan Pegawai 99 yang membawa Alat Kebesaran Diraja.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiuasaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek.

-AK