HELWA Dedah Resepi Rendang Maman

Laporan/foto: Jamilah Sulaiman (Seremban)

SEREMBAN, 18 Nov (Malaysiaaktif) - Penganjuran program komuniti merupakan antara cara yang terbaik dalam merapatkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat di sesuatu tempat.

Sedar akan kepentingan tersebut, Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA) Kampung Pantai mengadakan program ‘Demonstrasi Masakan Makanan Tradisional’.

Pengerusi HELWA, Siti Fatimah, berkata program seumpama ini dapat menggalakkan penduduk kampung untuk saling tolong-menolong, bekerjasama dan sentiasa bermuafakat.

"Sepanjang program dijalankan, kerjasama yang diberikan oleh penduduk setempat amat baik dalam menjayakan program ini, ia juga dapat memupuk semangat kejiranan yang tinggi antara satu sama lain,” ujarnya.

Menariknya program kali ini, penduduk kampung didedahkan dengan demonstrasi pembuatan makanan yang popular di Gemenceh iaitu rendang maman.

Menurut Mahani Samsudin, kunci untuk mendapatkan rendang maman yang sedap adalah cara penyediaannya yang unik dan mengekalkan cara tradisional selain menggunakan bahan-bahan utama secukupnya.

“Program seumpama ini mampu memberi pendedahan kepada generasi muda terhadap penyediaan makanan popular ini, ia juga dapat menarik minat mereka yang mana kini dilihat tidak berminat untuk mempelajari cara pembuatan makanan tradisional,” katanya.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah.

-AK