Labuan Halal Hub Terima Pelaburan RM60 Juta

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Labuan Halal Hub menerima kemasukan pelaburan baharu daripada Syarikat Nam Cheong Dockyard Sdn Bhd yang bakal memindahkan operasi mereka dari Batam, Indonesia dan China dengan anggaran pelaburan bernilai RM60 juta dalam tempoh dua tahun.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Perbadanan Labuan, syarikat pelaburan dan pengurusan perkhidmatan bagi industri pembinaan serta penyelenggaraan kapal itu mempunyai modal berbayar berjumlah RM25,000,000.

"Kemasukan syarikat yang memulakan operasi pada 1 Januari 2020 itu bakal menjadikan Labuan Halal Hub sebagai limbungan perkapalan bagi aktiviti-aktiviti seperti fabrikasi, kimpalan, pembaikan kapal luar pesisir dan pusat latihan di samping mewujudkan sekurang-kurangnya 1500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Aktiviti pelaburan ini dapat menggalakkan kemudahan dan fasiliti Labuan Halal Hub diguna pakai sepenuhnya untuk kilang pemprosesan dan gudang penyimpanan termasuk kompleks perniagaan," menurut kenyataan tersebut.

Perbadanan Labuan juga sedang memuktamadkan pelaburan-pelaburan lain dalam memberi penumpuan kepada sektor ekonomi sekunder sekali gus memberikan kesan kepada kenaikan ekonomi tempatan termasuk sektor pengangkutan, perhotelan mahupun peruncitan.

"Kemasukan tenaga kerja mahir dan separuh mahir ke Labuan melalui aktiviti pelaburan baharu ini turut membolehkan Labuan mempelajari teknologi baharu selain meningkatkan kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D)," menurut kenyataan itu lagi.

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Labuan dan Syarikat berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, di sini baru-baru ini.

-SH