Kesedaran Kesihatan Fizikal Dan Mental Sempena Penang Goes Orange 2019

Laporan/ foto :Nurazreen Bt Abd Rahman/ Haji Zanizal Bin Zamani (Seberang Prai Utara)

BUTTERWORTH , 19 Nov (Malaysiaaktif) - Seramai 4,500 peserta  jalan kaki telah membanjiri Padang Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi, Butterworth bagi memeriahkan Sambutan Penang Goes Orange (PGO). Program jalan kaki sepanjang 2.6 km ini adalah  anjuran Women's Centre of Change (WCC) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Penang Goes Orange (PGO), I Stop Violence Against Women & Children(VAWC) ini diadakan sempena menyambut 10 tahun penubuhan Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW). PPW telah ditubuhkan pada tahun 2009 yang menawarkan perkhidmatan kaunseling, bantuan undang-undang dan tempat perlindungan sementara secara percuma kepada wanita dan kanak-kanak di Seberang Perai. PPW juga turut berkempen program-program pencegahan penderaan seksual kanak-kanak dan remaja di serata  sekolah dalam negeri.

Di antara peserta program jalan kaki Di antara peserta program jalan kaki



Sambutan PGO ini telah dirasmikan oleh Ahli Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau menyarankan agar semua penduduk rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama membanteras isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak kerana keganasan ini bukan sahaja memudaratkan individu atau mangsa terlibat, tetapi turut memberi kesan yang mendalam ke atas keluarga dan seterusnya kepada masyarakat. Berdasarkan statistik keganasan rumahtangga di Pulau Pinang antara tahun 2010 hingga 2018 menunjukkan 2,376 kes yang telah dilaporkan dengan 73 % kes daripadanya berlaku di kawasan Seberang Perai.

"Saya percaya, Pulau Pinang mampu menjadi teladan dan inspirasi dalam usaha mengurangkan jurang gender ini dengan mengambil pendekatan  dalam menyampaikan perkhidmatan,”ujarnya lagi.

Ucapan perasmian Ucapan perasmian



Bagi memperkasakan usaha ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menerimapakai sebuah Dasar Keterangkuman Gender (DKG) tahun ini bagi mengurangkan ketidaksamarataan jantina dan bagi meningkatkan kesedaran sivik masyarakat. DKG ini dilaksanakan supaya Pulau Pinang terus maju ke arah keseimbangan perwakilan dan penyertaan wanita dan lelaki dalam semua aspek hidup.

Acara selingan persembahan pelajar sekolah Acara selingan persembahan pelajar sekolah



Turut hadir dalam menjayakan PGO ialah Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Presiden Women's Centre of Change (WCC), Susan Siew. Pelbagai pengisian menarik telah disediakan oleh penganjur, antaranya pameran 'Children Coner', Photo Booth untuk peserta mencipta mesej-mesej "I Stop VAWC" untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dari pelajar sekolah, persembahan tarian dan cabutan bertuah.

-II-