Kerajaan Lulus Naik Taraf Jalan Perindustrian Rawang

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 19 Nov (Malaysiaaktif) - Penduduk dan pengguna jalan raya sekitar Rawang menerima berita gembira apabila kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM445 juta untuk menaik taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata isu kesesakan disebabkan masalah jalan sempit di laluan tersebut dibawa ke Parlimen sejak beliau menjadi Ahli Parlimen pada 2008 namun tidak mendapat perhatian kerajaan terdahulu.

"Pada 23 Ogos 2019, saya sekali lagi telah memohon peruntukan projek naik taraf FT3209 untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2020 atau pelebaran jalan buat sementara waktu.

"Namun pada Khamis lalu kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM445 juta bagi menyelesaikan masalah rakyat Rawang selepas menunggu lebih 20 tahun," katanya.

Menurutnya, projek tersebut di bawah Pusingan Perancangan Empat Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) akan memulakan kerja awalan seperti ukur tanah, reka bentuk dan penilaian bermula tahun hadapan.

(Dari kanan) Chua Wei Kiat dan William Leong meninjau keadaan Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) yang sempit selepas sidang media semalam. (Dari kanan) Chua Wei Kiat dan William Leong meninjau keadaan Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) yang sempit selepas sidang media semalam.



"Dicadangkan kerja naik taraf itu menggunakan kaedah jalan bertingkat untuk menyelesaikan isu kepadatan trafik di laluan dari Plaza Tol Rawang hingga ke Pekan Rawang.

"Pelebaran jalan tidak memadai memandangkan kawasan tersebut meliputi kawasan industri, taman perumahan dan terdapat empat buah sekolah di Kuala Garing yang menggunakan laluan sama setiap hari," jelasnya.

Beliau berkata demikan pada sidang akhbar naik taraf FT3209 di persimpangan Lafarge bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat semalam.

-NAZ