APM Hargai Peranan Media

Laporan/foto: Iswandi Kassim  (Sri Aman)


SRI AMAN, 20 Nov (Malaysiaaktif) - Kerjasama erat berterusan antara Angkatan Pertahanan Awam Sri Aman dan pengamal media di daerah ini diyakini mampu menjadi penyumbang kepada kejayaan organisasi tersebut.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Hj Ibrahim berkata ia bukan sahaja akan meningkatkan kejayaan APM Sri Aman malah ianya menjadi penanda aras bagi APM Daerah lain di Sarawak. Perlu difahami bahawa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang juga sekretariat bencana diperingkat Negeri dan Bahagian di Sarawak adalah entiti penting dan lapisan ketiga barisan pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.




Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Hj Ibrahim menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Ketua Penerbit Rancangan RTM Sri Aman, Othman Laili. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Hj Ibrahim menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Ketua Penerbit Rancangan RTM Sri Aman, Othman Laili.


 “Kita amat berterima kasih kepada media di Sri Aman kerana menerusi kerjasama ini telah menyumbang kepada beberapa kejayaan dalam operasi terutamanya dalam menghadapi bencana jerebu dan krisis bekalan air di Sri Aman pada Ogos yang lepas ,” katanya.


Melalui kerjasama ini juga perit jerih pegawai dan kakitangan APM Sri Aman yang bertugas seolah mendapat pengiktirafan dan perhatian pelbagai pihak di media sosial dan media arus perdana dan paling penting menurutnya lagi ianya berjaya mengubah persepsi masyarakat yang sebelumnya menganggap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hanyalah sebagai penangkap ular semata-mata.


Melalui media jugalah masyarakat hari ini mula memahami kepelbagaian skop kerja APM dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat awam terus dipelihara.


Menurut Siti lagi, kerjasama rakan media dalam membuat liputan menyeluruh dalam setiap operasi dan aktiviti APM Sri Aman tahun ini ternyata sangat bermakna apabila dalam majlis yang diadakan di Kuching pada 7 November lepas APM Sri Aman telah memenangi Anugerah Pengurusan Angkatan terbaik Peringkat Negeri Sarawak dan turut merangkul Anugerah Pejabat Pertahanan Awam Terbaik Sarawak 2019.




Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Muhammad Alwi menerima Sijil Penghargaan diatas komitmen dan kerjasama bersama Angkatan Pertahanan Awam Sri Aman daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Hj Ibrahim Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Muhammad Alwi menerima Sijil Penghargaan diatas komitmen dan kerjasama bersama Angkatan Pertahanan Awam Sri Aman daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Hj Ibrahim


Siti berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi APM Bersama Media Sri Aman di Pusat Kawalan Operasi Daerah APM malam kelmarin.


Terdahulu, seramai tujuh orang pengamal media dari pelbagai akhbar tempatan dan nasional menerima sijil dan hamper daripada APM Sri Aman dalam majlis tersebut selain penghargaan khusus kepada Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman dan RTM Sri Aman sebagai agensi pengurusan media peringkat bahagian/daerah.


Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Muhammad Alwi, Ketua Penerbit Rancangan RTM Sri Aman Othman Laili dan Ketua Bahagian Keselamatan Naim Gamuda Sri Aman Safudin Lebey dan wakil organisasi media tempatan seperti Utusan Sarawak, Utusan Borneo dan Awani.