Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai: Hospital Pakar Kedua Terbesar di Kelantan

Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 21 Nov ( Malaysiaaktif ) – Hospital Kuala Krai yang kini dikenali sebagai Hospital Sultan Ismail Petra telah mula beroperasi sepenuhnya pada September 2018 dan dirasmikan hari ini.

Hospital yang berkonsepkan ‘Hospital Dalam Taman’ telah dirasmikan oleh Sultan Muhammad V hari ini dan turut berangkat sama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Cik Puan Sofie Louise Johansson serta Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr. Zulkefly Ahmad, Hospital Sultan Ismail Petra ini merupakan hospital yang kedua terbesar di Kelantan, pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM286 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Kuala Krai khususnya dan di Kelantan amnya.

“Hospital yang dibina pada tapak seluas 100 hektar di Kampung Pahi ini telah dimulakan pembinaannya pada Mei 2014 dan siap sepenuhnya pada Mei 2018 sebelum memulakan operasi pada September 2018,” ujarnya.

Menteri Kesihatan Malaysia mengiringi baginda menyempurnakan gimik perasmian Menteri Kesihatan Malaysia mengiringi baginda menyempurnakan gimik perasmian



“Hospital ini mempunyai 268 katil serta dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan bedah, dewan bersalin, kemudahan rawatan dan diagnostik, selain berfungsi sebagai pusat rujukan tertiari bagi memberi kemudahan kepada rakyat Kelantan,” kata Dr. Zulkefly dalam ucapannya.

Pegawai Perhubungan Awam, Hospital Sultan Ismail Petra, Mohd Rosiah Mohamed, 48, berkata dengan terbinanya Hospital Pakar di Kuala Krai, ianya akan memberi kemudahan kepada seluruh masyarakat bukan sahaja masyarakat Kuala Krai, malah memudahkan masyarakat sekitar terutama masyarakat dari Gua Musang.

“Pesakit dari Gua Musang yang memerlukan perkhidmatan doktor pakar tidak perlu lagi mendapatkan rawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu kerana Hospital Sultan Ismail Petra ini juga tersedia pelbagai kepakaran, ini lebih menguntungkan dan menjimatkan masa, tenaga dan kewangan pesakit itu sendiri,” ujarnya lagi.

Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang turut hadir Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang turut hadir



Suzie Chua, 53, berkata pembinaan Hospital Sultan Ismail Petra ini bukan sahaja dapat memberi pelbagai kemudahan perubatan kesihatan, malah dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat Kuala Krai itu sendiri.

“Cuba lihat di sekitar hospital ini terdapat banyak kedai-kedai makan, kedai runcit dan perumahan yang sedang giat dibina, ia menunjukkan kawasan ini sedang giat membangun seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Kuala Krai,” tambahnya.

Majlis Perasmian Hospital Sultan Ismail Petra ini juga turut dihadiri lebih 500 orang tetamu wakil jabatan dan agensi termasuk rakyat setempat yang disambut meriah.

- NAZ