Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Perlu Jadi Acara Luar Biasa - Gobind

Foto: Edi Rizam & KKMM


PUTRAJAYA, 22 Nov (Malaysiaaktif) - Sambutan Hari Kebangsaan 2020 perlu menjadi satu acara yang luar biasa dan jauh lebih baik daripada penganjuran tahun sebelumnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.


Beliau berkata jabatan serta agensi berkaitan perlu membuat persiapan awal dan berfikir di luar kotak bagi memastikan acara tahunan yang teramat penting itu meninggalkan kesan kepada rakyat dan negara.


Mengakui menguruskan acara pada 31 Ogos iaitu tarikh keramat bagi Malaysia adalah satu cabaran besar kementerian, namun penganjuran cemerlang yang ditunjukkan pada sambutan tahun ini (2019) memberi keyakinan hasrat itu mampu dilaksanakan, katanya.




Gobind ketika menyampaikan ucapan beliau Gobind ketika menyampaikan ucapan beliau


"Sekarang kita perlu pandang ke hadapan untuk sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan dengan prestasi yang ditunjukkan tahun ini, saya percaya kita boleh melakukan yang lebih baik bagi tahun hadapan.


"Untuk itu, kita perlu membuat persiapan lebih awal, cuba berfikir di luar kotak bagaimana merancang satu acara luar biasa yang dapat dilihat rakyat sebagai satu acara lebih baik daripada tahun ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan petugas yang menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada Program Pengukuhan Jaringan Strategik Hari Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 Tan Sri Norliza Rofli serta wakil daripada jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan penganjuran itu.


Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 berlangsung di Dataran Putrajaya di sini melibatkan penyertaan 16,000 peserta dan disaksikan oleh lebih 35,000 pengunjung.


Dalam pada itu, Gobind memuji komitmen semua pihak yang bekerja keras dan memberikan komitmen tinggi sehingga acara perbarisan dan perarakan bagi menyemai sifat patriotik dalam kalangan rakyat itu berjalan lancar dan cemerlang.




Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Puan Roselindawati Abdul Rahman menerima penghargaan daripada YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tuan Gobind Singh Deo dalam menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Puan Roselindawati Abdul Rahman menerima penghargaan daripada YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tuan Gobind Singh Deo dalam menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019


"Setiap hadirin yang berada dalam dewan ini mempunyai kekuatan, kepakaran dan sumber tersendiri yang diperlukan bagi melancarkan sambutan itu.


"Adalah mustahil acara itu dapat dilaksanakan dengan berjaya sekiranya tiada usaha bersepadu, kerjasama, koordinasi, usaha keras dan sifat profesional daripada pelbagai pihak yang terlibat di dalamnya," katanya.


Pada majlis itu, Gobind turut menyampaikan hadiah Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 Peringkat Kebangsaan kepada sembilan pemenang yang bersaing dalam kategori bangunan kerajaan dan swasta, kampung, sekolah rendah dan menengah, taman perumahan, kediaman individu, pintu gerbang dan institusi pengajian tinggi.



-- BERNAMA