Prasarana Terkini Bantu Penyebaran Dasar Kerajaan Dengan Meluas - KSU KKMM

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 26 Nov (Malaysiaaktif) - Kerajaan sedar betapa pentingnya untuk menyediakan persekitaran yang baik dan berkualiti kepada kakitangan sebagai asas kepada pembangunan insan yang mampu melahirkan penjawat awam berminda kelas pertama.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Datuk Ahmad berkata KKMM sememangnya akan melaksanakan permbaharuan terutamanya dalam memastikan jabatan atau agensi yang berada di bawahnya mempunyai mempunyai prasarana infrastruktur yang lengkap bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna serta pihak yang mendapat manfaat.

Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perlis, Ahmad Zaki Mustafa, (kanan) memberi penerangan kepada Datuk Suriani mengenai seni bina "mata pena" yang menjadi salah satu daya tarikan di Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis. Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perlis, Ahmad Zaki Mustafa (kanan) memberi penerangan kepada Datuk Suriani mengenai seni bina "mata pena" yang menjadi salah satu daya tarikan di Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis.



Beliau berkata demikan ketika berucap di majlis penyerahan Projek Siap Kompleks Penyiaran Negeri Perlis dari Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia di Kangar, Perlis.

"Kerajaan juga amat prihatin bahawa kejayaan penyampaian perkhidmatan awam kepada kumpulan sasar adalah bergantung kepada kecekapan dan kreativiti maklumat yang disampaikan," ujar beliau.

Semenjak dari tahun 1992, Jabatan Penyiaran Negeri Perlis telah beroperasi dengan menyewa di Tingkat 6, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kakitangan seramai 57 orang dan kini Jabatan Penyiaran Negeri Perlis bakal mendapat kemudahan ruang fasiliti teknikal seperti konti radio, galeri penerbitan television, stor radio dan ruang pejabat baru bagi memenuhi keperluan teknologi terkini masa kini.

Datuk Suriani (tengah) diberi penerangan mengenai suasana Kompleks Penyiaran Negeri Perlis. Datuk Suriani (tengah) diberi penerangan mengenai suasana Kompleks Penyiaran Negeri Perlis.



"Pembinaan projek ikonik Jabatan Penyiaran Malaysia yang mengambil masa lebih dari tiga tahun untuk disiapkan ini secara tidak langsung menjadi penanda aras di mana cadangan agar reka bentuk konsep bangunan ini bakal dijadikan pre-approved plans (PAP) JKR bagi mewujudkan keseragaman bangunan-bangunan Jabatan Penyiaran yang lain agar lebih mudah dikenali," tambah Suriani lagi.

Beliau juga berharap agar pembinaan bangunan baru ini akan dapat meningkatkan semangat dan iltizam kakitangan Jabatan Penyiaran Negeri Perlis dalam memberi perkhidmatan yang terbaik untuk KKMM dan juga negara.

Kompleks yang berjiran dengan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2020 bakal menyediakan sistem penyiaran yang berkualiti tinggi dan berbentuk digital dan ianya diharap dapat memberi manfaat yang berkualiti dari segi penyebaran maklumat yang berkesan kepada rakyat di negeri ini.

"Seperti mana yang kita sedia maklum, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan memberi penghayatan kepada perkongsian kekayaan dan kesejahteraan bersama tanpa mengira sempadan dan justeru itu diharapkan kompleks ini akan menjadi penyokong kepada penyebaran maklumat yang sahih dan dipercayai kepada seluruh rakyat," ujarnya lagi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Ar Zairul Azidin Badri ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut menjelaskan JKR telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini pada tahun 2017 dengan keluasan bangunan 2,169 meter persegi atau 23,400 kaki persegi melibatkan kos siling peruntukan sebanyak RM18 juta dan pembinaan projek berkonsepkan unsur-unsur identiti RTM seperti pemasangan fasad violin di bahagian hadapan dan reka bentuk bumbung jenis moocoque dan ia menggunakan kaedah Industrialised Building Sytem (IBS).

"Sekiranya pihak KKMM bersetuju, JKR akan mencadangkan konsep reka bentuk ini digunakan untuk projek baru Jabatan Penyiaran yang akan datang seperti Projek Penyiaran Langkawi yang baru sahaja diluluskan perlaksanannya," jelas beliau lagi.

Turut hadir, Pengarah Bahagian K-Ekonomi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Pauzan Ahmar, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Tuan Haji Muhammad Diah Haji Wahari, Datuk Mohamed Irwan Mansor mewakili Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia, Pengarah dan wakil dari Agensi di bawah KKMM serta anggota Jabatan Penyiaran Negeri Perlis.

-NI-