KPA2019 Beri Kenangan Manis Buat Wartawan, Jurugambar JAPEN Sabah

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 26 Nov (Malaysiaaktif) - Menghadiri majlis gilang gemilang Kinabalu Press Award 2019 (KPA2019) sememangnya dinanti-nantikan oleh pengamal media setiap tahun.

Shafie ketika menyampaikan ucapan perasmian. Shafie ketika menyampaikan ucapan perasmian.



KPA yang merupakan satu majlis yang sangat berprestij itu merupakan tempat untuk meraikan bakat para wartawan dan juru gambar yang bersungguh-sungguh melakukan tugasan dan menghasilkan karya terbaik sepanjang tahun.

Untuk tahun ini pula, ternyata memberi kenangan manis buat wartawan dan jurugambar Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah yang menggondol dua hadiah utama serta dua anugerah merit pada KPA kali ini.

Eviannie ketika menerima sijil daripada Shafie (dua dari kiri). Eviannie ketika menerima sijil daripada Shafie (dua dari kiri).



Buat julung kalinya, Anugerah Kewartawanan Utama Bahasa Melayu dimenangi gandingan Eviannie Kin Mei Hoon dan jurugambar, Johnny Joklis melalui penulisan bertajuk ‘Perpaduan Sabah OK Bah’ yang membawa pulang hadiah utama RM5,000 dan sijil.

Turut menerima hadiah utama melalui Anugerah Kewartawanan (Bahasa Melayu) kategori Pelaporan Berita Hiburan, Budaya dan Seni ialah Fauzrina Bulka bertajuk ‘Hiasan Lepa, Igal-Igal Warisan Asli Turun Temurun’ serta hadiah merit bagi Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar bertajuk ‘Mahua Waterfall, Lokasi Keajaiban Yang Tersembunyi’.

Fauzrina ketika menerima sijil daripada Madius (dua dari kiri). Fauzrina ketika menerima sijil daripada Madius (dua dari kiri).



Hadiah merit turut dimenangi wartawan Hazlinah Samsir melalui kategori Anugerah Laporan Berita bertajuk ‘Sokongan Keluarga, Kunci Untuk Kami Terus Ke Hadapan’.

Hadiah utama disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara pemenang utama merakamkan foto bersama Mohd Shafie. Antara pemenang utama merakamkan foto bersama Mohd Shafie.



Dalam pada itu, Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka merakamkan penghargaan kepada anggota JaPen yang telah memenangi beberapa kategori pertandingan sempena KPA pada tahun ini.

"Tahniah juga diucapkan kepada anggota yang turut serta dalam pertandingan ini, harapan saya agar kemenangan ini dapat dijadikan pencetus semangat untuk terus menghasilkan karya penulisan yang bermutu demi untuk meningkatkan imej Jabatan Penerangan," katanya.

Anggota JaPen Sabah yang hadir dan turut meraikan rakan-rakan yang berjaya merangkul anugerah. Anggota JaPen Sabah yang hadir dan turut meraikan rakan-rakan yang berjaya merangkul anugerah.



Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

ER