Perkhidmatan Awam Negeri Disandang 33 Peratus Wanita

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Nov (Malaysiaaktif) - Perkhidmatan awam negeri kini disandang oleh 33 peratus kaum wanita, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut 16 peratus daripadanya menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) manakala 38 peratus adalah kumpulan Pengurusan dan Profesional (PnP) dan 32 peratus lagi daripada kumpulan pelaksana.

"Jumlah yang dicatatkan merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam perkhidmatan awam negeri dan secara tidak langsung membuktikan bahawa penjawat awam wanita di Sabah turut memainkan peranan yang amat signifikan dalam pentadbiran negeri.

CENDERAMATA...Masturah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Rosmadi (tengah) sambil diperhatikan Noor Azlan. CENDERAMATA...Masturah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Rosmadi (tengah) sambil diperhatikan Noor Azlan.



"Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri telah menghantar seramai 24 pegawai wanita berkursus di luar negara dan 54 pegawai wanita menjalani latihan dalam perkhidmatan dalam negara.

"Kerajaan turut menyediakan latihan melalui Institut Perkhidmatan Awam Negeri bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran untuk memajukan diri kaum wanita.

"Setakat November tahun ini, seramai 2,632 pegawai wanita daripada 5,931 keseluruhan pegawai telah diberi latihan dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang pentadbiran awam," ujarnya.

Menyedari wanita menggalas pelbagai tanggungjawab, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta untuk membina taska di tempat kerja bagi memudahkan mereka melaksanakan urusan berkaitan penjagaan anak melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah," katanya pada Majlis Penutupan Program Bicara WOS: Kewibawaan dan Cabaran.

Rosmadi ketika menyampaikan ucapan. Rosmadi ketika menyampaikan ucapan.



Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai di sini, pada Rabu.

Seramai 114 orang peserta terdiri daripada kakitangan perkhidmatan awan negeri menghadiri program tersebut.

Hadir sama, Professor di Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Masturah Jamrah.

ER