KPLB Sabah Terus Konsisten Cari Pendekatan Bantu Penduduk Luar Bandar

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Nov (Malaysiaaktif) - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus konsisten mencari pendekatan baharu membantu penduduk luar bandar khususnya di Perkampungan Mini Estate Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara pendekatan yang diambil KPLB Sabah ialah memperkenalkan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang telahpun dilaksanakan tahun ini dan akan diteruskan pada tahun depan.

“Kita akan meneruskan AET dan menambahbaik apa yang telah kita laksanakan tahun ini untuk manfaat penduduk kampung di perkampungan Mesej dan Kampung-Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

“Setakat ini KPLB Sabah mempunyai 52 program MESEJ dengan sasaran utama Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam e-Kasih dan 55 program Kampung Sejahtera iaitu kampung terpencil yang belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya,” katanya.

Ewon, Fredian, Aftar dan para pegawai KPLB Sabah bergambar bersama para peserta kursus. Ewon, Fredian, Aftar dan para pegawai KPLB Sabah bergambar bersama para peserta kursus.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Kursus Pengurusan Sisa Pepejal dan Kelestarian Alam Sekitar anjuran KPLB Sabah, di Pusat Kemahiran Masyarakat KPLB Sabah Kampung Mensiang Menggatal, dekat sini, pada Selasa.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan; Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Aftar Nurajat; pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah.

Kursus selama dua hari itu disertai 30 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari Pulau Banggi, Kudat, Matunggong, Pitas, Kota Marudu dan Kota Belud.

Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu. Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu.



Mengenai program itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kursus itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran penduduk kampung terutamanya pemimpin peringkat akar mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar.

“Badan MPKK mempunyai 13 Biro dan antaranya Biro Kebersihan yang bertanggungjawab dalam aspek menjaga kebersihan dan keceriaan kampung masing-masing.

“Saya berharap setiap peserta dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan sepanjang kursus ini dengan masyarakat di kampung masing-masing kerana kebersihan kampung juga antara tarikan utama pelancong untuk mengunjungi eko pelancongan luar bandar,” katanya.

Oleh itu beliau berharap semua pihak termasuk termasuk pemimpin di peringkat akar umbi seperti MPKK dapat memainkan peranan masing-masing mempertingkatkan kesedaran penduduk kampung mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

ER