Polis Berjaya Bongkar Makmal Proses Dadah

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah hasil penahanan 11 individu termasuk seorang wanita dalam tujuh serbuan sekitar Rawang dan Bukit Sentosa, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata serbuan bermula pukul 12.20 tengahari berjaya membongkar makmal haram memproses dadah yang telah beroperasi sejak setahun lalu.

“Risikan sejak sebulan lalu secara mendalam berjaya mengenal pasti lokasi makmal dadah yang beroperasi di sebuah kawasan penternakan lembu dan ikan di Bukit Beruntung.

“Hasil serbuan tersebut seramai 11 orang berjaya ditangkap berusia antara 34 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita dan ujian air kencing ke atas mereka menunjukkan negatif dadah.

“Namun empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, suspek direman dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selama tujuh hari sehingga 3 Disember ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Jalan Bukit Idaman, di sini hari ini.

Datuk Mohd Khalil (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang diproses di sebuah makmal haram di Bukit Beruntung dalam operasi yang dijalankan, semalam. Datuk Mohd Khalil (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang diproses di sebuah makmal haram di Bukit Beruntung dalam operasi yang dijalankan, semalam.



Menurut Mohd Khalil, makmal dadah tersebut merupakan yang ke-17 berjaya dibongkar tahun ini namun tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Salah seorang daripada suspek yang ditangkap berperanan sebagai ‘ahli kimia’ tidak bertauliah yang berkeupayaan memproses dadah ini.

“Hasil operasi ini berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 15.97 kilogram dan kaffein seberat 28.2 kilogram, semuanya bernilai RM222,960 serta turut merampas pelbagai jenis peralatan memproses, bahan kimia serta kenderaan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khalil memaklumkan pihaknya telah melancarkan Op Damn Tokan 4.0 semalam bertujuan menghapuskan pengedar (tokan) dadah dalam usaha memencilkan penagih daripada pengedar dadah.

“Dalam Op Damn Tokan 4.0 tersebut, pihak kami berjaya menangkap 334 orang tokan, menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 1,804 tokan ditangkap pada tahun ini," tambahnya.

-SH