Karnival Kerjaya PMM: Peluang Tingkat Kadar Kebolehpasaran Graduan

Laporan/foto: Ishak Mohamed Basir (PMM)

MERLIMAU, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) dengan kerjasama JobMalaysia Melaka mengadakan Karnival Kerjaya Internship & Career Excellence Day 6.0 atau lebih dikenali sebagai I-CarE 6.0 yang menyumbang ke arah peningkatan kadar kebolehpasaran graduan PMM.

Menurut Pengarahnya Rosli Hamid, kejayaan terhadap penganjuran program tersebut atas kerjasama erat antara PMM bersama JobMalaysia Melaka yang juga merupakan penganjuran buat kali keenam.

“Program Kerjaya yang diadakan ini memberi peluang kepada orang ramai dan para pelajar yang tamat latihan industri untuk terus mendapatkan pekerjaan tanpa perlu berlengah dengan sebanyak 17 majikan turut serta dengan menawarkan lebih 1900 kekosongan jawatan untuk diisi.

“Seramai 470 lebih pelajar Politeknik Merlimau yang telah menghabiskan latihan industri hadir ke program ini bermula seawal pagi bagi merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh para syarikat yang menyertai carnival ini,” ujarnya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Sesi temu duga oleh salah sebuah syarikat yang terlibat. Sesi temu duga oleh salah sebuah syarikat yang terlibat.



Katanya lagi, karnival ini merupakan program tahunan yang dianjurkan dua kali setahun iaitu mengambil peluang para pelajar kembali melapor diri semula ke PMM selepas menjalani latihan industri iaitu pada bulan April dan November setiap tahun.

“Impak program seumpama ini amat baik kerana sedikit sebanyak dapat didedahkan dengan persiapan sebelum temu duga, cara menjawab temu duga dan pelbagai tips lain oleh pihak JobMalaysia melalui forum kerjaya yang menampilkan dua orang panel daripada industri terlibat,” katanya lagi.

PMM telah mencapai melebihi 94 peratus kadar kebolehpasaran dan telah melahirkan seramai 23,010 graduan sejak penubuhannya pada tahun 2002. Selain majikan, beberapa universiti lain turut bersama mengadakan pameran melanjutkan pengajian.

-SH