132 Buah Bas Percuma, 43 Laluan Manfaatkan Rakyat Selangor

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU ARANG, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Bas Percuma Smart Selangor yang dilancarkan pada 1 Julai 2015 kini dapat dinikmati rakyat negeri ini apabila kerajaan negeri menyediakan 138 buah bas di 43 laluan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor Ng Sze Han, berkata sambutan yang diterima seluruh rakyat Selangor sangat baik sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

“Perkhidmatan ini telah iktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) pada 2017 sebagai perkhidmatan bas percuma terbanyak disediakan di dalam negara dan ianya memberi inspirasi kepada kerajaan negeri untuk lebih menyantuni rakyat.

“Pada tahun ini, seramai 8.8 juta penumpang telah menggunakan bas Smart Selangor sehingga 31 Julai lalu dan kerajaan negeri berharap rakyat dapat memanfaatkan kemudahan ini dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya sempena Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor MPS3 (Laluan Batu Arang-KTM Sungai Buloh), di sini hari ini.

Antara penumpang yang menaiki perkhidmatan bas percuma Smart Selangor laluan Batu Arang-Sungai Buloh. Antara penumpang yang menaiki perkhidmatan bas percuma Smart Selangor laluan Batu Arang-Sungai Buloh.



Turut hadir Yang diPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat serta ADUN Kuang Sallehudin Amirudin.

Menurut Sze Han, bas percuma dari Batu Arang ke Sungai Buloh merupakan laluan ketiga dalam pentadbiran MPS yang mempunyai 50 hentian meliputi perumahan, klinik kesihatan, hospital dan stesen komuter.

“Laluan baharu itu merupakan yang ketiga dalam kawasan pentadbiran MPS selain di Selayang Mutiara ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Tesco Rawang ke stesen bas Rawang.

“Kemudahan percuma itu diharap dapat dimanfaatkan orang awam sepenuhnya bagi mengurangkan beban kewangan khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya lagi.

(Dari kiri) William Leong, Shamsul Shahril Badliza, Ng Sze Han dan Chua Wei Kiat menunjukkan isyarat 'bagus' ketika menaiki bas percuma laluan Batu Arang-Sungai Buloh yang dilancarkan hari ini. (Dari kiri) William Leong, Shamsul Shahril Badliza, Ng Sze Han dan Chua Wei Kiat menunjukkan isyarat 'bagus' ketika menaiki bas percuma laluan Batu Arang-Sungai Buloh yang dilancarkan hari ini.



Sementara itu, Ketua Kampung Batu Arang Nor Azmy Abdul Aziz, berkata pihaknya bersama pimpinan tempatan dan wakil rakyat membuat permohonan perkhidmatan bas percuma pada pertengahan tahun lalu.

"Kemudahan yang disediakan ini sangat bermanfaat untuk penduduk Batu Arang yang kurang kemudahan pengangkutan awam berbanding kawasan lain.

"Penduduk di sini dan kawasan sekitar seperti Kundang dan Bandar Tasik Puteri dapat menggunakan kemudahan untuk berurusan di Hospital Sungai Buloh, stesen komuter serta lain-lain yang jaraknya agak jauh dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sara hidup di samping memudahkan pergerakan penduduk ke lokasi tertentu terutama mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri," katanya.

-SH