Penduduk Manfaat Lombong Jana Pendapatan

Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Shaharudin Suratman (Seremban)

SEREMBAN, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Menyedari potensi penternakan ikan air tawar yang mampu menjana pendapatan lumayan, Majlis Pemuafakatan Kampung (MPKK), Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Siliau Baru dan Persatuan Penternak dan Nelayan Darat, Kampung Siliau telah mengambil inisiatif untuk memanfaatkan Lombong Lubuk Kempas sebagai lokasi penternakan ikan.

Pengerusi Persatuan Penternak dan Nelayan Darat Kampung Siliau Mazlan Shaari, mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur atas sumbangan yang telah diberikan oleh Jabatan Perikanan selain sokongan penuh daripada Jabatan Penerangan Malaysia melalui KHM Kampung Siliau Baru dan MPKK.

“Pada awalnya hanya lima orang sahaja yang ingin menyertai projek penternakan ikan ini, tetapi apabila dihebahkan kepada semua ramai pula yang ingin turut serta.

"Saya berharap projek penternakan ikan ini berjaya dan saya memohon jabatan perikanan dapat turun padang bagi memantau aktiviti melepaskan spesis ikan pemangsa seperti peacock, toman dan lain-lain yang boleh memusnahkan ekosistem ikan peliharaan di Siliau ini,” ujarnya yang ditemui ketika Majlis Pelepasan Anak Benih Ikan di Lombong Lubuk Kempas, KHM Kampung Seliau Baru, di sini kelmarin.

Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Mohd Zamri Omar, berkata program sebegini perlu diberi keutamaan bagi membantu penduduk kampung menambah pendapatan mereka.

“Masyarakat setempat perlu komited memastikan ikan membesar dengan jayanya dan membuahkan hasil supaya dapat dinikmati oleh penduduk kampung.

'Nilai ikan ini akan naik walaupun hanya bermodalkan RM5,000 sahaja pada permulaannya tidak mustahil ia akan memberikan hasil pulangan yang berlipat ganda sehingga boleh mencecah RM100,000,” katanya.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Mejar (K) Hj Sabarudin Yeop Hamza turut beranggapan program ini sebagai satu gabungan program terbaik yang mana ia melibatkan jabatan dan penduduk kampung untuk meningkatkan ekonomi.

Katanya, usaha ini juga dapat menyokong pembangunan industri perikanan rekreasi agar ia dapat dinikmati generasi masa hadapan.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 20,000 benih ikan lampam dan kerai yang dibekalkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan telah dilepaskan selain benih ikan tongsan sumbangan penduduk kampung sendiri.

-SH