Warisan ‘Miyolon Ensambiyan’ Kini Dibukukan

Laporan/Foto : Idris Sani Saberun/ Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Urus niaga pertukaran barang atau dalam bahasa tempatan, 'Miyolon Ensambiyan' di Kampung Darau Manggatal kini didokumentasikan dalam sebuah buku setebal 56 muka surat.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, konsep tukar barang adalah merujuk kepada konsep perniagaan jual beli tanpa menggunakan mata wang yang menjadi amalan masyarakat pada zaman dahulu.

"Konsep ini kemudiannya disebar luas oleh pedagang yang singgah berdagang ke pelbagai pelabuhan sehingga sistem ini digantikan dengan sistem mata wang.

"Difahamkan aktiviti pertukaran barang antara masyarakat Bajau-Sama dan Kadazan Dusun ini masih berlaku di Kampung Darau setiap kali perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sehingga ke hari ini.

"Keunikan ini dilihat antara sebab mengapa warisan 'Miyolon Ensambiyan' bertahan sehingga kini.

2.1 RASMI… Assaffal memotong reben sebagai simbolik pelancaran buku tersebut sambil disaksikan Azhar (tiga dari kiri), Dr Jakaria (dua dari kiri), Arif (kiri) dan Mansur (kanan). RASMI… Assaffal memotong reben sebagai simbolik pelancaran buku tersebut sambil disaksikan Azhar (tiga dari kiri), Dr Jakaria (dua dari kiri), Arif (kiri) dan Mansur (kanan).



"Warisan ini adalah lambang kesepakatan yang unik yang menjadi salah satu intipati kepada keharmonian pelbagai etnik kaum di negeri Sabah.

"Ini merupakan satu keunikan yang wajar diberi sokongan oleh pelbagai pihak khususnya pihak kementerian dan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan.

"Difahamkan beberapa responden yang telah ditemubual adalah dalam kalangan orang lama yang sangat berusia dan ada yang berumur lebih 100 tahun dan baru-baru ini ada yang telah meninggal dunia.

"Ini merupakan kehilangan yang cukup besar dan saya pasti lebih banyak lagi warisan tradisi lain boleh didokumentasikan jika kita bertindak mulai sekarang seperti mana yang dilakukan oleh Jabatan Muzium Negeri Sabah dengan kerjasama Univerisiti Malaysia Sabah (UMS).

"Justeru itu, saya memuji langkah proaktif Jabatan Muzium Negeri Sabah dalam menyalurkan geran kepada pelbagai pihak berkepakaran terutama sekali pihak UMS untuk mendokumentasikan warisan ini dalam bentuk penulisan," katanya pada Majlis Pelancaran Buku Barter Trade: Tradisi Miyolon Ensambiyan Aidilfitri Kampung Darau Manggatal, pada Jumaat.

Assaffal (kiri) ketika menyampaikan teks ucapan menterinya. Assaffal (kiri) ketika menyampaikan teks ucapan menterinya.



Teks ucapannya disampaikan pembantu menterinya, Assaffal P. Alian.

Seramai empat pensyarah UMS terlibat dalam proses kajian dan penulisan buku tersebut yang diketuai oleh Yuzainy Janin serta dibantu oleh Dr Jakaria Dasan, Dr Sidah Idris dan Kamarul Mizal Marzuki.

Buku yang memaparkan kisah masyarakat Kadanzan Dusun yang membawa hasil pertanian dari sekitar Manggatal, Inanam, Tamparuli dan Kota Kinabalu ke Kampung Darau ketika hari raya untuk ditukarkan dengan pelbagai juadah tradisi suku Bajau-Sama di kampung tersebut boleh diperolehi di Muzium Negeri Sabah pada harga RM50 senaskah.

Assaffal menyampaikan senaskah buku tersebut kepada Presiden Persatuan Kadazan Dusun, Datuk Marcel Leiking (duduk kanan) sebagai bahan rujukan. Assaffal menyampaikan senaskah buku tersebut kepada Presiden Persatuan Kadazan Dusun, Datuk Marcel Leiking (duduk kanan) sebagai bahan rujukan.



Sejurus majlis pelancaran itu pihak Jabatan Muzium Negeri Sabah turut mengedarkan buku tersebut kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan seperti Perustakaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Persatuan Kadazan Dusun untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

Hadir sama, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Azhar Datuk Matussin; Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah, Arif Abd Hamid; Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat UMS, Dr Jakaria Dasan dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Mansur Asun.

ER