Radio Amatur Sedia Bantu Warga Cameron

Laporan/ foto: Muhamad Khairul Faizal/ Muhammad Arief (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 2 Dis (Malaysiaaktif) - Mungkin ramai masih belum mengenali apakah itu radio amatur. Hakikatnya radio amatur telah lama wujud beratus tahun yang lalu sebagai satu kaedah komunikasi melalui peralatan radio dan elektronik.




Khairul menyampaikan ceramah kepada ahli RCRC untuk persediaan peperiksaan radio amatur. Khairul menyampaikan ceramah kepada ahli RCRC untuk persediaan peperiksaan radio amatur.


Menurut Pengerusi Kelab Rekreasi dan Komunikasi Radio Cameron Highlands ataupun Radio Communication & Recreation Club (RCRC), Mohd Khairul Zaifar Razik, radio amatur mempunyai banyak manfaat kepada orang ramai. Bermula daripada hobi bereksperimental, kini radio amatur adalah satu unit yang sangat penting menyumbang kepada komuniti di Cameron Highlands melalui bantuan komunikasi ketika bencana mahupun kecemasan.


“Kini kewujudan kami dianggap penting apabila turut serta bekerjasama dengan pengurusan bencana daerah dalam menyalurkan kepakaran dan perkhidmatan komunikasi melalui radio amatur bagi mengesan mangsa mahupun melaporkan situasi bencana semasa,” ujarnya semasa sesi ceramah Kursus Pengenalan Radio Amatur dan Persediaan “Online Radio Amateur Examination” di Pejabat Agama Islam Cameron Highlands di sini, rabu lalu.


Tambah Khairul, “RCRC ditubuhkan pada tahun 2015 pada skala kecil oleh peminat radio amatur di Cameron Highlands, kini keahlian berdaftar adalah sekitar 40 orang dan ramai dalam kalangan kakitangan kerajaan dan juga individu.


“Radio amatur dalam bidang komunikasi sangat luas kerana dapat menghubungkan seseorang di sesuatu kawasan di seluruh dunia menggunakan set radio amatur yang tertentu pada frekuensi tertentu. Komunikasi menggunakan “kod Morse” antara kaedah yang dipelajari dalam sistem komunikasi,” katanya lagi.


Manakala menurut Qadi Pejabat Agama Daerah Cameron Highlands, Muhamad Yusri Aman yang juga ahli kelab RCRC, proses penyampaian maklumat merupakan satu proses kerja yang perlu difahami di setiap peringkat sama ada kerajaan mahupun swasta.


“Kerajaan mempunyai dana, dan swasta mempunyai kepakaran. Perkara ini diperlukan untuk mewujudkan latihan dan melatih seramai mungkin golongan sukarelawan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk komunikasi radio atau sebaliknya. Bekerjasama, tolong-menolong antara semua individu amat diperlukan dalam semua situasi, sama ada ketika waktu tenang atau pun ketika bencana,” ujarnya lagi.


Kelab Rekreasi dan Komunikasi Radio Cameron Highlands mengharapkan penyertaan lebih ramai lagi keahlian pada masa hadapan agar pengendali radio amatur dapat menyumbang perkhidmatan dan kepakaran kepada komuniti setempat.




Antara ahli tetap kelab RCRC. Antara ahli tetap kelab RCRC.


-KN