Pelajar Orang Asli Gembira Terima Bantuan Persekolahan

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Syamil Dzulkefly (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 106 kanak-kanak dari empat buah sekolah di kawasan Iskandar Puteri menerima sumbangan pakaian, beg sekolah, alat tulis dan pek makanan sempena Program Kembali Ke Sekolah Iskandar Puteri.

Barangan tersebut disumbangkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Hotel Ramada Johor Bahru kepada pelajar-pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Sekolah Kebangsaan Gelang Patah, Sekolah Kebangsaan Nusa Perintis dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, program bantuan persekolahan ini merupakan satu usaha yang sangat baik untuk menyantuni komuniti setempat dan mengurangkan beban sara hidup khususnya kepada keluarga Orang Asli di Kampung Simpang Arang.

“Saya mengharapkan lebih banyak lagi bantuan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di kawasan Iskandar Puteri yang dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah, di sini, semalam.

Seramai 106 kanak-kanak dari empat buah sekolah di kawasan Iskandar Puteri nyata ceria selepas menerima sumbangan pakaian, beg sekolah, alat tulis dan pek makanan sempena Program Kembali Ke Sekolah Iskandar Puteri. Seramai 106 kanak-kanak dari empat buah sekolah di kawasan Iskandar Puteri nyata ceria selepas menerima sumbangan pakaian, beg sekolah, alat tulis dan pek makanan sempena Program Kembali Ke Sekolah Iskandar Puteri.



Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif, Jabatan Pengurusan Modal Insan dan Transformasi Iskandar Investment Berhad (IIB), Azman Mohd Hussein dan Tok Batin Kampung Simpang Arang, Noree Kasi.

Tambah Dzulkefly, Kerajaan Johor juga mempunyai program untuk memberi bantuan persekolahan kanak-kanak dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menerusi program ‘Back To School’ anjuran Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dibawah kelolaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Setakat ini seramai 1,500 pelajar sekitar Iskandar Puteri telah dikenalpasti untuk diberikan sumbangan menerusi program ‘Back To School’ dengan kerjasama pasar raya Mydin dan jumlah penerima sumbangan ini akan bertambah lagi pada tahun hadapan,” jelas beliau lagi.

Naib Presiden Eksekutif, Jabatan Pengurusan Modal Insan dan Transformasi Iskandar Investment Berhad (IIB), Azman Mohd Hussein, berkata pendidikan adalah satu sektor yang sentiasa mendapat perhatian di IIB.

“Kami amat berbesar hati dapat memberi sedikit sumbangan bagi membantu pelajar-pelajar Orang Asli di sini untuk menghadapai sesi persekolahan tahun hadapan dan kami akan terus mengadakan lebih banyak program komuniti yang pastinya akan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik,” katanya.

Program Kembali Ke Sekolah IIB telah menyalurkan bantuan kepada ribuan kanak-kanak dan pelbagai sekolah di negeri Johor dan sumbangan yang diberikan merangkumi pemberian pakaian seragam sekolah, beg, alat tulis, peralatan sukan, komputer riba dan projektor.

 

-NI-