Pelajar Digalak Bergiat Dalam Seni Bela Diri

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 8 Dis (Malaysiaaktif) - Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menggalakkan pelajar sekolah khususnya di kawasan luar bandar bergiat aktif dalam sukan seni mempertahankan diri.

Beliau berkata, seni mempertahankan diri penting bukan sahaja sebagai pertahanan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan atau bahaya seperti jenayah tetapi juga dapat meningkatkan keyakinan diri.

Ewon ketika berucap pada majlis itu. Ewon ketika berucap pada majlis itu.



“Selain itu ia juga dapat meningkatkan disiplin diri, kecergasan fizikal, mengisi masa lapang, mendidik anak-anak supaya lebih penyabar dan menghormati antara satu sama lain.

“Dari segi kecergasan fizikal, anak-anak yang belajar seni mempertahankan diri akan dilatih untuk menguji tahap kecergasan menerusi latihan-latihan fizikal. Mereka juga dapat membina ketangkasan menerusi pelbagai pergerakan yang dipelajari.

“Sehubungan dengan itu saya akan terus menyokong penganjuran program seumpama ini dan berharap lebih ramai pelajar sekolah bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

Ewon menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang. Ewon menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Pertama Antara Kelab Extreme Martial Arts Shotokan Karate (EMASK), di Dewan Kampung Kiau Nuluh, pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kelab EMASK Nuluh sebagai sokongan kepada kelab itu.

EMASK Nuluh ditubuhkan pada Mac lalu dan kini dianggotai lebih 100 ahli dari kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Penganjur Wiliam Ginting. Ewon menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Penganjur Wiliam Ginting.



Kejohanan EMASK dianjurkan kali pertama di Kiau Nuluh disertai 160 peserta berumur antara 6 hingga 15 tahun dari lapan pasukan iaitu EMASK Nuluh, Taburi, Kepayan Baru, Menggatal, Tambunan, Hondu Dojo Menggatal, EMASK Dato Menggatal, Emask Sokid Vila Bukit Padang dan pasukan jemputan daripada Shitokai Nabalu.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu akan berakhir esok (Ahad) mempertandingkan sebanyak 38 kategori.

ER